Rabu, 1 September 2010

MENZIARAHI PUSARA DI MUASSASAH DARUL ULUM




Sebelum bertolak pulang ke Kelantan jam 10 pagi tadi (Rabu, 1 September), saya ditemani Ustaz Firdaus Hat telah menziarahi Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, satu institusi pendidikan yang diasaskan oleh PAS di bawah Al-Marhum Dato' Fadzil Noor satu ketika dahulu. Tanah luas yang diwakafkan oleh ahli dan penyokong PAS itu telah tersergam indah bangunan sekolah menengahnya (SMIDU) dan Kolej Islam Darul Ulum (KIDU). Perjalanan dari Alor Setar ke sana memakan masa hampir 45 minit. Itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke muassasah itu. Terbayang saat duka ketika umat Islam dikejutkan dengan berita pemergian beliau mengadap ALLAH tahun 2002, kira-kira 8 tahun lalu. Masa itu saya masih di bangku Sekolah menengah, tahun SPM bakal menjelang. Dengan begitu pantas, jalan-jalan menuju ke muassasah, tempat Al-Marhum akan disemadikan, telah dibanjiri ribuan manusia yang ingin memberikan penghormatan terakhir.
Di sini bersemadinya Al-Marhum Dato' Fadzil dan beberapa yang lain.


Di hadapan masjid Muassasah tersebut bersemadinya jasad beliau bersama-sama para pejuang yang lain. Terbaru ialah adik ipar beliau, Allahyarham Ustaz Shauki Ibrahim, mantan ADUN Langgar yang memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya umum 1999 dan merupakan ayahanda kepada YB Ustaz Ahmad Izzat Shauki, ADUN PAS Kedah sekarang.

Setahu saya, berdasarkan bacaan bahawa tanah muassasah itu pernah cuba dirampas oleh kerajaan BN Kedah sekitar tahun 80-an. Pada masa itu, Al-Marhum Ustaz Fadzil berada di tanah suci Mekah dan apabila tersebar berita tanah muassasah cuba dirampas, puluhan ahli dan penyokong PAS telah berkampung di atas tanah tersebut bagi sama-sama mempertahankannya. Hingga Al-Marhum pulang dan beliau mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa lalu hasrat kerajaan BN telah dapat dihalang.

Begitulah perjuangan penubuhan muassasah adalah terbina atas keringat dan air mata para penyokong gerakan Islam yang mahukan PAS mempunyai institusi pendidikannya tersendiri.

Dalam perjalanan ke Stesesn Syahab Perdana itu juga, kami sempat singgah di sebuah sekolah yang asalnya sebuah pusat pengajian pondok. Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak, Langgar yang satu ketika dahulu dikenali Pondok Tuan Guru Haji Abdullah Kechik, Langgar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan