Khamis, 2 September 2010

SUBUH JUMAAT TERAKHIR RAMADHAN 1431 DI MASJID TOK GURU

Hari Jumaat ini adalah Jumaat terakhir Ramadhan. Kita dijadualkan menyambut 1 Syawal pada Jumaat minggu hadapan. Pagi Jumaat terakhir Ramadhan ini, saya menunaikan solat Subuh di Masjid Pulau Melaka bersama Tok Guru Nik Aziz.

Walaupun ia sudah menjadi perkara biasa bagi rakyat Kelantan setiap pagi Jumaat-mereka akan menunaikan solat Subuh dan seterusnya mendengar tazkirah dari Tok Guru, namun bagi saya, ia adalah perkara baru setelah lebih 5 tahun tidak solat Subuh di belakang Tok Guru. Masjid dua tingkat bersebelahan kediaman Tok Guru itu, penuh sesak dengan kehadiran jemaah yang memenuhi masjid sebelum berkumandanya azan Subuh.

Ketika berada di pintu masjid, saya hairan melihat sesetengah mereka yang membawa tong dan bekas berisi air masuk ke dalam masjid. Setelah masuk ke ruang solat, saya dapati di mihrab imam telah terdapat berpuluh-puluh tong dan bekas air lain yang diletakkan untuk dibuat air penawar oleh Tok Guru dengan pelbagai hajat.

Solat Subuh diimamkan oleh Tok Guru. Sebelum mengangkat takbir, beliau menjelaskan hadith Nabi s.a.w, "Sollu solatan muwadda'' Yang bermaksud, "Solatlah kamu seakan-akan solat terakhir dalam hidup".

Selesai solat, beliau membawa zikir.Antara yang dibaca Tok Guru ialah "LAILAHAILLAH MUHAMMAD RASULULLAH, FI KULLI LAMHATIN WA NAFASIN 'ADADA MA WASI'AHU 'ILMULLAH".. Ini ialah talkin yang dibawa oleh Sayyidi Ahmad bin Idris r.anhu yang menjadi amalan teras kepada Tariqat Ahmadiyyah dan semua cabangnya termasuk Jaafariyah. Saya meyakini tohmahan beliau "WAHABI" seperti yang ditohmah sesetengah pihak adalah bohong semata-mata. Atau adakah Tok Guru tak sedar atau tak tahu apa yang dibaca? Mustahil sama sekali, sebab Tok Guru adalah ulamak yang faham Al-Quran dan Bahasa Arab.

Selepas zikir beramai-ramai, beliau terus mengadap kiblat, dengan suara yang sebak, beliau memulakan kuliah Subuh. Nada sebak itu kerana itu adalah Jumaat terakhir pada bulan mulia ini dan beliau menyebut bila perginya Ramadhan, segala rahmat dan berkatnya turut sama akan pergi. Katanya, rahmat dan berkat perkara yang tak nampak tengok kecuali kena ada IMAN kepada ALLAH. Iman inilah yang akan menjadikan seseorang itu percaya atau tidak kepada perkara ghaib.

Tok Guru menerangkan kelebihan orang yang berbuat baik, apabila dia mati kelak, bukan sahaja manusia akan sedih tapi makhluk lain juga akan menangisi pemergiannya. Tok Guru bacakan hadith Nabi s.a.w, "Dua perkara yang akan menangis kerana meratapi tuannya yang soleh apabila tuan tersebut meninggal dunia, pertama tempat sujud dan kedua tempat laluan amalan solehnya."
Ramainya mereka yang menanti giliran untuk tahniq dan cukur jambul bayi masing-masing.

Tok Guru menasihati agar menjaga hati kerana disitulah tempat duduknya iman. Sabda Nabi s.a.w, "Hati ini boleh berkarat sepertimana berkaratnya besi.." Berkarat hati dengan dosa manakala cara untuk gilap supaya karat itu hilang ialah dengan banyakkan zikir, ingat kepada ALLAH.

Sepanjang 20 minit ucapan Tok Guru itu, bukanlah dengan nada yang tinggi dan bersemangat. Suaranya tenggelam timbul. Tapi saya lihat ramai yang boleh memberi perhatian kepada setiap kalimah yang keluar dari mulut Tok Guru. Bahkan, kalau diperhatikan sesetengah ucapan beliau adalah diulangi perkara yang sama, tapi orang yang mendengar tidak pernah rasa bosan. Ucapannya tak keluar dari skop dosa pahala, syurga neraka dan dunia akhirat. Pergilah ke mana pun, ucapan Tok Guru takkan keluar dari topik tersebut. Itulah keramatnya beliau.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan