Ahad, 6 Jun 2010

LARANGAN HALAQAT TARIQAT DI MASJID KEMENTERIAN WAKAF MASIH DIKUATKUASAKAN

Sebelum ini, jika ke Masjid Saidina Husain pada hari Jumaat, kita akan dapati beberapa halaqat kecil manusia yang akan berhimpun mengadakan majlis zikir tariqat mereka selepas solat Jumaat, namun semua itu tidak lagi boleh dibuat pada masa kini.

Ini berikutan satu arahan rasmi dari Kementerian Wakaf di bawah menterinya, Dr.Hamdi Zaqazuq bahawa semua majlis tariqat dan halaqat tidak lagi dibenarkan diadakan di semua masjid-masjid di bawah kementerian. Adapun masjid persendirian yang bukan di bawah kendalian kementerian, ia tidak tertakluk pada perintah ini, seperti Masjid Syeikh Soleh Jaafari, ia bukan masjid di bawah kementerian.

Untuk itu, semua halaqat zikir tidak dibenarkan termasuk pada sambutan perayaan maulid Ahli Keluarga Rasulullah s.a.w. Semalam pun ke sambutan Maulid Sayyidi Ali Zainal Abidin, masih lagi perintah tersebut dikuatkuasakan. Tiada sebarang halaqat tariqat dapat dibuat di dalam masjid tersebut. Ini kali kedua ia tidak dapat dilaksanakan pada sambutan maulid Ahli keluarga Rasulullah s.a.w selepas Sayyidah Nafisah r.anhu pada Mei lalu.

Walau bagaimanapun, usaha untuk memohon menteri menarik balik semula perintah tersebut akan cuba diusahakan oleh sebuah institusi tertinggi tariqat kesufian Mesir (iaitu Majlis A'ala Li Turuq As-Sufiyyah) yang diketuai oleh syeikh masyayeikh, Abdul Hadi Al-Qusabi, demikian menurut laporan terbaru dalam majalah TASAWUF ISLAMI, satu majalah bulanan yang menjadi lidah rasmi bagi institusi yang menjaga pendaftaran serta seliaan tariqat di Mesir ini.

Persoalan: Jika ada orang bertanya, adakah ini menunjukkan bahawa golongan Wahabi telah menguasai Kementerian Wakaf Mesir?

Jawapannya, tidak. Sesekali tidak.

Alasan yang diberikan oleh kementerian ialah halaqat tersebut mengganggu mereka yang datang menziarahi maqam ahlil Bait serta auliya'. Ini kerana ada halaqat yang dibuat menggunakan pembesar suara hingga mengganggu jemaah lain yang menziarahi maqam.

Walaupun begitu, Syeikh Abdul Hadi yang dilantik Syeikh Masyayeikh Tariqat Mesir ini sewaktu di wawancara majalah TASAWUF ISLAMI menyebut, salah satu sebab larangan itu dikeluarkan kerana kementerian mendapat aduan bahawa ada sesetengah tariqat ingin menubuhkan "Hizbul Siyasi" iaitu "parti politik berasaskan tariqat".

Syeikh Abdul Hadi mengulas, jika itu aduan yang diterima, maka wajar kementerian menyekat sementara sebarang halaqat. Ini kerana katanya, seperti yang dimaklumi Mesir amat keras dari segi membenarkan himpunan dari segi bentuk politik apatah lagi ingin menubuh parti politik.

Walaupun pada awal larangan ini dikeluarkan, beberapa syeikh tariqat membantah keputusan kementerian Wakaf, namun akhirnya terpaksa akur dengan arahan tersebut dan halaqat zikir tetap diteruskan di masjid persendirian mereka dan di rumah-rumah yang lain.


Mesir teramat sensitif dari segi himpunan bermotifkan politik Apatah lagi kalau parti itu sebagai parti Islam. Seperti yang kita maklum, baru-baru ini Parlimen Mesir meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh Ordinan Dadrurat negara yang sepatutnya berakhir tahun ini kepada 2 tahun lagi iaitu 2012. Dengan pelanjutan tempoh itu, maka kerajaan Mesir melalui kuasa polis dan tentera boleh melakukan apa sahaja seperti yang dilakukan ketika ini.
Dr.Ahmad Nazif ketika membentangkan draf cadangan darurat kepada Parlimen Mesir.

Usul tersebut mendapat tentangan dan kecaman dahsyat ahli Parlimen Ikhwan Muslimin. Hingga ada seorang dari mereka yang pengsan ketika berbahas kerana tidak puas hati dengan keputusan kerajaan itu. Antara alasan yang diberikan oleh kerajaan bagi melanjutkan tempoh darurat itu:

Pertama: Membendung sindiket pengedaran dadah

Kedua: Membanteras golongan pengganas

Usul tersebut yang dibentang oleh Perdana Menteri, Dr.Ahmad Nazif akhirnya diluluskan dengan ramai ahli Parlimen terutama dari parti kerajaan (Hizbul Watani Ad-Demokrati) menyokong mengalahkan suara pembangkang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan