Jumaat, 18 Jun 2010

ULAMAK AL-AZHAR,TETAMU SERTAI MAULID SYEIKH SOLEH JAAFARI

Maulid Syeikh Soleh Jaafari r.anhu tahun 1431 hijrah telah berakhir sekitar jam 5 pagi tadi, Jumaat selepas solat Subuh berjemaah yang diimamkan oleh Prof.Dr.Muhammad Sayyid Sultan, pensyarah Kuliah Bahasa Arab Universiti Al-Azhar cawangan Asyut yang juga wakil syeikh bagi cawangan Bani 'Adi, Asyut.

Sebelum itu, sejak petang Khamis, ratusan anak murid serta kalangan pencinta (muhibbin) Syeikh Soleh dari segenap cawangan berkumpul di masjdi beliau itu bagi meraikan malam penutup sambutan termasuk tetamu dari Sudan, Libya dan Bahrain. Malaysia pula diwakili oleh para penuntut Al-Azhar yang berada di Kaherah ketika ini.

Majlis yang gilang gemilang tahun ini bermula dengan solat maghrib yang diimamkan oleh Dr.Atiyah Mustafa Husain, imam dan khatib Masjid Syeikh Soleh Darrasah.

Ketika Prof.Dr.Rabi'e,mantan Dekan Kuliah Usuluddin Al-Azhar memberikan ucapan, hadirin teruja dengan kehadiran Syeikh bagi Masyayeikh Tariqat Sufi Mesir yang baru dilantik baru-baru ini iaitu Syeikh Abdul Hadi Al-Qusabi yang juga Ketua Majlis Tertinggi Kesufian Mesir.

Mengiringi beliau ialah Sayyid Mahmud As-Syarif, ketua bagi golongan Al-Ashraf Mesir serta Syeikh Mukhtar Ali, Syeikh tariqat Dusuqiyah Muhammadiyah yang juga ahli Majlis Tertinggi Kesufian Mesir. Turut hadir ialah Syeikh Fuad Abdul 'Azim, wakil Kementerian Wakaf Mesir (Hal Ehwal Al-Quran dan Masjid) sebagai mewakili Menteri Wakaf, Dr.Hamdi Zaqazuq.

Selepas solat Isyak yang diimami beliau, tetamu bertali arus tiba menyampaikan ucap selamat dan tahniah buat Syeikh Abdul Ghani atas sambutan yang penuh bersejarah ini.

Apatah lagi sepanjang saya menghadiri sambutan sebegini sejak empat tahun lalu, tidak pernah Syeikh Masyayeikh Tariqat dan Ketua golongan Al-Ashraf Mesir turun ke sambutan kecuali dengan hanya menghantar wakil mereka. Akan tetapi tahun ini cukup berbeza.

Antara yang hadir dan memberikan ucapan ialah Prof.Dr.Fathi Abdul Rahman Hijazi (Pensyarah Kuliah bahasa Arab Al-Azhar Kaherah), Syeikh Dr.Muhammad Wusam Khidr (Amin Darul Ifta'), Prof. Dr.Jamal Farouq Ad-Daqaq (hadir tetapi tidak menyampaikan ucapan),Syeikh Solah Nassar (imam dan khatib Masjid Al-Azhar merangkap Ketua Ikatan Ulamak Mesir) selain beberapa orang politik seperti Ahli Parlimen Mesir kawasan tersebut dan anggota Majlis Syura Mesir.

Ketika jam menunjukkan jam 1 pagi, sekali lagi kami dikejutkan dengan kehadiran cucu Sayyidi Ahmad bin Idris yang terkenal dengan kewaliannya, iaitu Sayyid Idris bin Sayyid Mustafa Al-Hasani, syeikh bagi tariqat Ahmadiyah Idrisiyah bersama beberapa teman tiba di masjid.

Alunan madih memuji Sayyidi Ahmad Idris dari qasidah karangan Syeikh Soleh Jaafari dialunkan bagi mengalu-alukan kedatangan keturunan beliau itu.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan