Isnin, 12 April 2010

BUDI BAIKMU TUAN DIBAWA MATI


Duduk bersebelahan di Muktamar Sanawi PMRAM tahun lalu.

Saudara Adlan..Terima kasih atas segalanya. Bersama pengarah USMB,saudara Zuhaili ketika menjawat jawatan timbalan pengarah pada program USMB tahun 2008.

Serius memikirkan hal PMRAM.Gambar diambil beberapa minggu menjelang Muktamar (atas). Ceria sewaktu merasmikan program MINDA peringkat Damanhur sewaktu menjadi BP angkat dua tahun lalu.Gambar kenangan bersama warga Damanhur di Imarah Amerika (gambar bawah).



Di majlis sambutan hari lahir ke-23 tanggal 9 April 2009 lalu (gambar bawah).

Insan yang paling saya amat terhutang budi hingga ke saat ini ialah saudara Adlan selaku Setiausaha Agung PMRAM. Saya bukanlah orang terbaik untuk diletakkan di posisi pembantu kepada pentadbiran. Seperti yang selalu diingatkan oleh Presiden, Setiausaha Agung kepada satu-satu persatuan ibarat CEO kepada sesebuah syarikat. Tugas yang digalas amat berat bagi bergandingan dengan Presiden supaya perancangan yang diatur dapat dilaksanakan dengan baik. Tentu sekali posisi saudara Adlan sebagai setiausaha Agung amat bertepatan dengan kebolehan dari sudut pentadbiran yang dikuasai.

Dilantik sebagai timbalan Setiausaha Agung meletakkan saya berada dalam sebuah organisasi kecil yang dinamakan Jabatan Setiausaha Agung. Ketua JSUA namanya Setiausaha Agung, AJKnya timbalan dan Naib Setiausaha Agung (NSUA). Namun bagi NSUA lebih banyak memberikan tumpuan kepada lajnah yang disandang iaitu Lajnah Pendaftaran. Manakala tugas TSUA pula tentu lebih banyak perlu ditumpukan membantu Setiausaha Agung.

Bermula dari kosong, saya mula mengorak langkah bertatih. Saya pula bertekad akan buat yang terbaik walaupun dalam benak fikiran,tidak langsung mendapat pendedahan berkaitan pengurusan dan pentadbiran sebelum ini. Saudara Adlan banyak memberikan saya tunjuk ajar, satu persatu. Apa yang penting,niat di hati saya mahu jadi pembantu yang terbaik bagi beliau. "Aku bukan yang terbaik bagi membantumu, tapi aku akan cuba untuk jadi pembantu yang terbaik buatmu.." Itu antara ungkapan saya kepada beliau di awal-awal pentadbiran dulu. Lalu saya meletakkan diri sebagai pembantu atau kerani di pejabat PMRAM. Segala apa yang diarah oleh Presiden atau SUA, saya akan cuba laksanakan kerana itu adalah tugasan saya.

Hari terakhir ini, saya amat dapat rasakan kepuasan bertugas sebagai TSUA. Bangga menjadi pembantu kepada seorang teman yang banyak mengambil berat tentang saya selama ini. Setahun bersahabat dengan saudara Adlan, saya dapat rasakan beliau seorang yang kuat bekerja tanpa mementingkan diri. Asalkan kerja PMRAM selesai maka itu sudah cukup bagi beliau. Makan,minum dan urusan diri itu cerita lain. Tak salah jika saya sebutkan di sini, ketika di ambang peperiksaan fasa pertama lalu, beliau sanggup menyertai mesyuarat bersama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) PMRAM walaupun ketika itu dalam keadaan demam. Ketika itu beliau baru saja beberapa hari pulang ke Mesir setelah bercuti, dengan memandu sendiri motosikal dalam keadaan demam yang agak kuat meredah angin dingin musim sejuk ketika itu.Satu semangat luar biasa yang ditunjukkan demi amanah yang diberikan.

Kami dilantik sebagai Badan Pengurus pada tahun 2008 semasa Presiden saudara Khairul Anuar Ismail. Beliau memegang portfolio Badan Sambutan dan Rehlah manakala saya diamanahkan Badan Penerangan dan Penerbitan. Tahun itu, beliau adalah timbalan pengarah Urusetia Sambutan Mahasiswa Baru (USMB) peringkat PMRAM.Tahun yang sama, dilantik BP angkat bagi DPM Damanhur. Setiap kali Damanhur berprogram,kami pasti merancang turun bersama.Tambahan tahun itu suasana di DPM Damanhur agak getir dari segi kesatuan ahli. Lebih lagi memerlukan BP angkat berperanan untuk merapatkan kembali dengan PMRAM. Sebarang program perlu BP angkat turun bersama. Jika beliau merasmikan program, saya akan ambil perasmian penutup. Atau begitulah sebaliknya. Program pertama seingat saya yang melibatkan kami ialah perasmian bulan thaqafah. Malamnya kami bermalam di markaz utama DPM di Huda. Selepas subuh kami terdengar ada ahli yang mengadakan perlawanan futsal.Kami terus bergegas ke padang yang terletak agak tidak jauh dari DPM. Bertemu ahli di sana.

Pada penutup program MINDA Damanhur, kami turun bersama. Oleh sebab agak lewat majlis tamat, kami bermalam di rumah Ustaz Rahman di Imarah Amerika. Pagi lepas Subuh, saya ditinggalkan mereka ke Pasar Zawiyah. Pasar Zawiyah di Damanhur amat popular di sepanjang Sungai Nil di sana. Saya ditinggalkan bukan sebab apa tapi tertidur kerana keletihan. Akhirnya hingga ke hari ini, saya belum kesampaian untuk melihat suasana Zawiyah tersebut. Damanhur tetap berada di hati kami dengan kenangan setahun menjadi BP angkat di sana.

Setelah tahun kedua dalam BP PMRAM, dengan takdir Allah sekali lagi kami bersama. Kali ini dalam satu jabatan.Juga beliau sebagai taakhi saya selain saudara Taufik. Tidak pada BP angkat lagi. Kami sudah berpecah, saya di Shibin El-Kom dan saudara Adlan di Tanta. Hati masih menaruh keinginan untuk turun ke Damanhur lagi. Walaupun tidak lama, tapi sekurang-kurangnya dapat bersama-sama menjenguk dan bertanya khabar teman-teman di Imarah Amerika dan sekitarnya.

Teringatkan Ustaz Amir Najmi yang pakar dalam masak memasak. Ustaz Hafiz juga tidak kurang hebatnya. Tukang sembelih yang masyhur di sana. Kalau ada majlis di DPM, dua insan hebat ini akan kelihatan.Tapi kerana kesibukan pada tugasan masing-masing, kami terpaksa pendamkan impian tersebut. Biarkan ia tinggal kenangan bagi kami.Menjelang pertengahan November tahun lalu, beliau pulang bercuti sebulan di Malaysia atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Jawatannya dipangku oleh saudara Muhammad Labib sebagai antara orang berkelayakan dalam bidang pentadbiran memandangkan beliau pernah menjawat jawatan yang sama di DPMnya Mansurah.

Bagi saya, beliau telah lakukan yang terbaik sepanjang menggalas tugas SUA tahun ini. Tugasan sebagai SUA bukanlah dikenali umum kerana ia melibatkan tugasan di pejabat sahaja. Itulah yang diinginkan oleh orang seperti beliau. Bekerja tanpa mahukan populariti dan dikenali orang ramai.

Syukur wahai Tuhan,kurniakan bagi saya teman seperti dia. Kepada saudara Adlan, maafkan jika diri ini tak mampu untuk buat yang terbaik seperti yang dikehendaki. Jika ada di sudut hati perasaan tak puas hati dan kecewa atas gerakkerja sahabatmu ini, daku susun sepuluh jari memohon keampunan. Terima kasih atas segala-galanya yang diberikan selama ini. Budi baikmu tuan akan ku bawa sampai mati. Tiada ungkapan yang mampu dituturkan, tiada kalimah yang sesuai untuk dilafazkan.

Sekurang-kurangnya persahabatan kita ini menjadi saksi yang kita pernah bersama kerana-Nya, bertemu dan akan berpisah selepas ini juga kerana-Nya. Selepas ini, hanya Allah mengetahui di mana posisi kami. Berkata syair: "Jika hilang dirinya dari pandanganku, akan tetapi ingatlah sekali-kali tidak akan hilang cintanya dariku.."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan