Jumaat, 9 April 2010

MENYELAMI PEMIKIRAN DAN IDEA SAUDARA ABDUL MU'IZZ YANG DIKENALI


Bergambar kenangan bersama Exco Kerajaan Kedah (atas) dan suasana dalam Muktamar PMRAM tahun lalu (gambar bawah).

Menyambung coretan bersama saudara Abdul Mu'izz, antara yang paling saya terkesan dengan beliau ialah minat membaca dan mengkaji kitab Haraki dan semasa (mu'asarah)yang mana sebelum ini saya amat kurang berminat. Beliau cukup menekankan kepada Badan Pengurus untuk memperkayakan thaqafah dari sudut kepimpinan Islam dengan membaca kitab-kitab Haraki. Terkesan dari beliau tersebut, hampir kesemua Badan Pengurus termasuk saya membanyakkan bacaan dan kajian terhadap kitab Haraki dan mu'asarah terutama karangan Imam Dr.Yusuf Qardhawi.Antara kitab yang mulai saya minati ialah karangan Syeikh Sa'id Hawa r.anhu. Bagi saya kebanyakkan kitab karangan beliau yang menyentuh penyucian jiwa dan amalan kerohanian.

Saya ingin menulis beberapa pemerhatian saya terhadap idea dan pemikiran saudara Abdul Mu'izz. Sebelum itu, izinkan saya menyelami peribadi beliau seperti yang saya kenali.Bagi mereka yang pertama kali berurusan atau jarang berurusan dengan Saudara Abdul Mu'izz, mereka akan meletakkan pelbagai tanggapan yang salah. Sebaliknya sesiapa yang kerap mendekati beliau,akan dapat merasakan sesuatu yang berharga dari nilai sebuah persahabatan dengan beliau.

Sewaktu saya bekerja di bawah beliau sebagai Ketua Pengarang PRISMA,pernah satu ketika, saya tengok kopiah Haji Deris yang dipakainya. Saya tegur, "Cantik kopiah Ustaz Muizz." Lalu dia pakaikan kepada saya kopiah tersebut, muat. Saiz kepala kami tidak jauh beza. Kopiah tersebut seperti dimaklumi amat sukar diperolehi di Mesir dan di Malaysia harganya agak mahal. Tak lama kemudian, beliau datang kepada saya dan hadiahkan kepada saya. Terima kasih atas hadiah tersebut.

Memang tidak dapat dinafikan sifat tegasnya banyak memberikan saya tunjuk ajar tambahan ketika baru dalam Badan Pengurus. Ingat lagi semasa Kejohanan Piala Malaysia di Iskan Tullab dalam akhir Julai 2008. Antara tugas BPP ialah mengambil gambar program dan membuat laporan berita untuk web. Tiba-tiba hari itu saya terlupa, tambah tak bawa kamera dan banyak jumpa kawan di padang bola, lupa tugas utama saya. Masa perjalanan pulang, saudara Mu'izz tegur saya. "Mana kamera?" tanya beliau. "Terlupa, ada kat rumah," jawab saya. Lalu beliau muhasabah diri saya dan mengingatkan tugas saya sebagai BPP sepertimana beliau laksanakan sebelum itu. Saya secara peribadi, selepas peperiksaan fasa 1 yang lalu, saya ingin menyertai rombongan Syeikh Ashraf ke Aswan 5 hari. Pada pertimbangan saya, masa itu baru lepas peperiksaan dan program masih belum bermula. Jadi saya beranikan diri untuk meminta izin beliau ke sana. Setelah memaklumkan perkara tersebut, beliau senyap. Selalunya jika beliau senyap itu menunjukkan beliau tak bersetuju. Saya pun senyap dan beredar.

Dua hari sebelum bertolak,sekali lagi saya mencuba nasib dengan menghantar SMS kepada beliau, minta keizinan untuk ke Aswan. Malam itu, berita gembira saya terima, beliau membalas SMS saya "Jalan baik2". dengan dua patah perkataan tersebut, fahamlah saya beliau telah bersetuju. Bukan tak boleh bagi saya untuk pergi tanpa makluman atau keizinan beliau, tapi dalam berpersatuan kita dididik dengan akhlak dan disiplin. Atas kita ada ketua, seharusnya beliau dihormati.

Berikut saya paparkan beberapa aspek yang ditekankan oleh saudara Abdul Mu'izz.

1)Dakwah Melalui Lisanul Hal


"Lisanul Hal" antara perkara yang ditekankan beliau. Pimpinan tak perlu menjawab semua tohmahan dan fitnah yang dilemparkan musuh. Kata beliau, "Kalam pimpinan ada bisa. Jika selalu digunakan, akan hilang bisa." Oleh itu, Lisanul Hal adalah cara untuk PMRAM menjawab setengah dari tohmahan yang dilemparkan. Konsep ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dalam misi dakwahnya dan ternyata berjaya. Banyak peristiwa dalam Sirah yang menunjukkan pihak musuh terbuka pintu hati dan menerima Islam hanya setelah melihat akhlak dan peribadi Baginda Rasulullah s.a.w.

Ini juga diamalkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz apabila mula-mula memerintah Kelantan dahulu. Prinsip beliau, ada isu yang perlu dijawab segera. Ada isu yang perlu tunggu masa sesuai untuk jawab (melihat keadaan), ada isu yang tak perlu dijawab langsung bahkan jika dijawab menampakkan kebodohan kita dan segala kerja membangunkan negeri terbantut. Contoh isu yang tak dijawab isitu isu pembangunan. Walaupun pada awal pemerintahan ada tanggapan kerajaan beliau hanya mampu bertahan tiga bulan, ada kata setahun. Namun bila berlalu masa tersebut, kerajaan beliau masih stabil. Tiada apa-apa yang berlaku. Hingga kini setelah hampir 20 tahun berlalu, tiada lagi lagu "Kelantan tiada pembangunan" dimainkan.

Begitu juga isu dalam PMRAM. Contohnya apabila ada tuduhan mengatakan PMRAM tiada tarbiyah. Pimpinan PMRAM tidak cepat melatah bahkan mereka telah menunjukkan konsep tarbiyah sebenar dan memperbetulkan tanggapan tarbiyah hanya sekadar juzuk-juzuk tertentu tanpa melihat secara keseluruhan. Pimpinan PMRAM selalu mengingatkan bahawa tarbiyah besar yang PMRAM berjaya didik ahli iaitu setiap kali program atau Exco peringkat DPM atau BKAN, PMRAM tidak pernah membayar gaji atau memberikan duit poket. Segala titik peluh dan sumbangan adalah dari duit poket ahli sendiri. PMRAM berjaya mendidik ahli tidak mementingkan diri sendiri dan menjauhi sifat "maddiyyah" iaitu mementingkan kepada kebendaan. Begitu juga tohmahan PMRAM tidak mementingkan pencapaian akademik. Sedangkan dua bulan sebelum menjelang peperiksaan, PMRAM telah menghentikan program-program pada masa itu kecuali kelas tutorial dan motivasi sahaja dibenarkan.

2) Melobi Pimpinan


Antara konsep baru yang cuba ditonjolkan oleh saudara Abdul Mu'izz bahawa dalam kepimpinan PMRAM tiada yang dinamakan "main show" atau hanya individu tertentu mewarnai corak sesebuah persatuan. Tiada watak utama bahkan 15 orang anggota Badan Pengurus itu bergerak seiringan dan bekerja secara kolektif. Setakat ini bagi saya melobi pimpinan ini masih kurang diamalkan oleh pelajar-pelajar kita tambahan orang Melayu.

Kata saudara Abdul Mu'izz,golongan Freemasonary sekali-kali tidak pernah memburukkan orang yang ingin dinaikkan sebagai pimpinan (Presiden Amerika sebagai contoh) walaupun mereka mengetahui kelemahan orang itu, bahkan di 'make up' dan dinaikkan dengan banyak menonjolkan kebaikan dan kekuatan pemimpin tersebut hingga dia mendapat kepercayaan masyarakat dunia. Bagi orang Melayu pula, nak jatuhkan seseorang sesuatu yang mudah.Bahkan jika dibuka ruang untuk muhasabah atau dialog, sering kita dengar soalan yang panas hingga menjatuhkan air muka pimpinan di hadapan. Masa itu dia mengambil peluang untuk belajar bercakap bahkan rasa bangga jika soalan yang diutarakan membuatkan pimpinan tidak dapat menjawab. Bukan tak boleh mengkritik atau bertanyakan soalan tapi ada caranya. Ada akhlak dan disiplinnya tambahan jika pemimpin itu melaksanakan Islam.

Sepanjang saya mengikuti perkembangan dalam akhbar Mesir, saya cukup tertarik politik yang dimainkan oleh orang Mesir. Contohnya jika ada majlis atau program di bawah satu-satu kementerian, mereka pasti akan menyebut nama Presiden,Hosni Mubarak sebagai penaung kepada program.Sebagai contoh: "Tahta ri'ayah As-Sayyid Ar-Rais..." antara ayat yang sering digunakan yang bermaksud: "Di bawah seliaan Tuan Presiden Hosni Mubarak, Gabenor wilayah Kaherah, Dr.Abdul Azim Wazir menjemput tuan-puan menghadiri majlis hari raya Aidiladha..."

Begitu juga apabila khutbah Jumaat atau Hari Raya yang disiar melalui televisyen, imam yang selalu mengetuai solat Jumaat antaranya Mufti, Syeikhul Azhar atau Dr.Umar Hashim sebagai Ketua Jabatan Agama Islam di Parlimen Mesir. Dalam khutbah kedua,pasti akan disertakan doa dengan menyebut nama Presiden Mesir memohon kesejahteraan buat beliau.

Itu kepada pemimpin sekular. Seperti yang kita sedia maklum dengan pemerintahan rejim Mubarak. Tapi nama Presiden mereka tetap dinaikkan.Menaikkan nama pemimpin yang melaksanakan Islam tentu sekali tiada salah. Ini juga pernah diamalkan sebelum ini apabila mendoakan buat Presiden PMRAM dan kepimpinan PMRAM dalam doa di majlis-majlis PMRAM sebelum ini. Dalam majlis perasmian Ekspo Gempak PMRAM (EGP), Konvensyen PMRAM dan lain-lain, acapkali doa buat pimpinan PMRAM dipanjatkan dan tak lupa kepada kesatuan PMRAM itu sendiri. Namun, bagi mereka yang tidak memahami menganggapnya sebagai cubaan untuk membodek atau mengampu Presiden.

Ini juga menjadi prinsip sepanjang saya kenali beliau. Dalam ucapan, beliau takkan menyebut apa kejayaan beliau sendiri atas nama Presiden bahkan yang disampaikan adalah misi dan dasar persatuan yang beliau bawa. Kata beliau, "Seorang pemimpin dia akan bercakap misi dan dasar persatuan yang diperjuangkannya, bukan seorang pemimpin bila mengangkat diri sendiri."

3)Cakap Perkara Yang Kita Buat

Ini nasihat yang beliau selalu tekankan kepada kami Badan Pengurus. Bercakap perkara yang kita tak buat merupakan satu retorik dan hanya lakonan. Beliau mahukan setiap kalam yang dituturkan biarlah dari hati. Kata beliau, pimpinan boleh bercakap lebih atau mengangkat diri tapi takut bila orang atau ahli kenal kita, mereka akan kecewa.

4)Bukan Intima' Syakhsi

Antara yang selalu ditekankan juga tentang dasar PMRAM yang berpegang kepada Al-Quran dan Hadith. Selagi PMRAM berjalan atas landasan Islam maka selagi itulah Allah akan menjaganya. Pemimpin merupakan individu yang kurniakan oleh Allah sebagai khalifah-Nya bagi menunaikan kewajipan sebagai seorang hamba atas muka bumi ini. Menyayangi pemimpin tiada salah tapi jika sampai mentaqdiskan pemimpin dan hanya melihat beberapa individu tertentu sahaja yang layak,maka ia sudah menjadi satu kesalahan. Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi Islamlah yang akan kekal dipelihara oleh Allah buat selama-lamanya.

PMRAM hanyalah wasilah bagi memperjuangkan Islam. Jika tiada ditempat lain namanya PMRAM tetapi matlamat dan dasar yang sama diperjuangkan iaitu Islam,maka wajib ditaati. Dimana bumi dipijak,di situ Islam dijunjung.

Beliau pernah menukilkan kisah bagaimana sewaktu hayat As-Syahid Imam Hasan Al-Banna pernah menziarahi rumah seorang ahli Ikhwan. Beliau terkejut apabila melihat sekeping gambar wajah beliau digantung dalam rumah tersebut. Lantas beliau mengarahkan gambar tersebut diturunkan dengan segera.

5)Tidak Lupa Mencari Pelapis


Dalam melaksanakan gerak kerja, beliau selalu ingatkan supaya pimpinan menyediakan barisan pelapis yang bersedia mewarisi perjuangan. Mereka yang berjuang tapi lupa menyiapkan golongan pelapis, mereka sebenarnya "syok sendiri".

Demikian yang saya sempat singkapkan sedikit sebanyak idea dan pemikiran beliau sebagai Presiden PMRAM. Tentu mereka yang mengenali dan berkawan sejak dari sekolah seperti saudara Adlan, Setiausaha Agung PMRAM yang merupakan junior beliau atau sesiapa jua kenalan beliau tentu akan dapat menimba pengalaman dan menyelami pemikiran beliau lebih dalam.

Mohon kemaafan khas buat Tuan Presiden jika coretan di atas dan sebelum ini terdapat kekurangan dan tidak menepati citarasa dan kehendak tuan.Semoga Allah terus memelihara kesatuan kita ini buat selamanya..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan