Isnin, 26 April 2010

PENUNTUT ILMU AGAMA PERLU JAGA MARUAH,JANGAN BACUL



Antara mereka yang memuliakan para penuntut ilmu Allah ialah para ulamak sendiri.Kalangan mereka Al-Marhum Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki Al-Hasani. Berikut dipetik dari buku karangan Ustaz Muhammad Fuad Kamaludin Al-Maliki bertajuk "Al-Maliki Ulamak Rabbani Abad Ke-21" di bawah tajuk "Kasih Terhadap Penuntut Ilmu":

"Antara perkara yang menunjukkan kasihnya (Sayyid Muhammad) terhadap anak-anak muridnya, apabila tiba bulan Ramadhan, beliau akan mengerjakan umrah bersama mereka selepas menyampaikan pengajaran tahunannya selepas Asar di Masjid Al-Haram.

Kebiasannya beliau akan merahsiakan perkara tersebut kecuali kepada beberapa anak-anak murid yang dikasihinya kerana bimbang akan diketahui orang ramai yang berpusu-pusu menghadiri pengajiannya di Masjid Al-Haram pada setiap bulan Ramadhan. Kebetulan, pada hari itu seorang penduduk Mekah mengetahui akan hal tersebut. Maka beliau memberitahu Sayyid Muhammad Alawi untuk ikut serta dan akan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka ketika berada di tempat bermiqat di Ja'ranah.

Apabila sampai tiba di Ja'ranah,beliau meminta anak-anak murid Sayyid Muhammad Alawi supaya membantunya menurunkan makanan dari keretanya. Kemungkinan ada salah seorang dari mereka yang acuh tak acuh melakukan kerja tersebut, maka beliau (orang Arab tadi)mengherdiknya.

Apabila Sayyid Muhammad mendengar herdikan lelaki itu, lantas beliau memarahinya. Dengan perasaan marah beliau berkata, "Bagaimanakah kamu melakukan sedemikian terhadap anak-anak kami sedangkan mereka adalah penuntut ilmu dan Nabi Muhammad s.a.w sendiri telah mewasiatkan dan menyuruh kami supaya menghormati dan memuliakan mereka."

Rasulullah s.a.w bersabda:
سيأتيكم أقوام يطلبون العلم، فإذا رأيتموهم فقولوالهم: مرحبا بوصية رسول الله واقنوهم

"Akan datang kepada kamu kaum-kaum yang datang menuntut ilmu, apabila kamu bertemu dengan mereka,maka katakanlah kepada mereka "Selamat datang wahai wasiat Rasulullah" dan ajarilah mereka."

Kemudian, Sayyid Muhammad Alawi berkata kepada lelaki tadi, "Jangan kamu anggap mereka inginkan makanan kamu ini. Ingatlah kamu ingat bahawa mereka datang dari keluarga yang dihormati di Indonesia, kedatangan mereka ke Tanah Haram bertujuan untuk menuntut ilmu dan bukan bertujuan yang lain.

Sayyid Muhammad Alawi kemudian mengarahkan anak-anak muridnya menaiki kereta. Lelaki itu berasa amat malu atas perbuatannya dan selepas kejadian itu beliau datang meminta maaf daripada Sayyid Muhammad Alawi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan