Isnin, 26 April 2010

PMRAM PERTAHANKAN MARUAH MAHASISWA ISLAM DI MESIR


Salah satu daripada hak muslim ke atas muslim yang lain ialah mempertahankan maruah saudara seagamanya yang lain apabila hak tersebut dicerobohi, demikian tulisan Al-Marhum Syeikh Sa'id Hawa yang menarik perhatian saya dalam kitab masyhurnya "Tazkiyatul Anfus". Daripada lebih 20 hak tersebut, beliau mengulas tentang mempertahankan hak saudara Islam yang lain dengan kata beliau, "Memelihara kehormatan saudara seIslamnya serta hartanya,dirinya dari dizalimi dengan kadar kemampuannya.."

Tidak cukup sekadar itu, Al-Marhum Syeikh Sa'id Hawwa telah membawa hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abi Darda' : Seorang lelaki telah memperkecilkan seorang lelaki lain di hadapan Rasulullah s.a.w lalu seorang lelaki lain telah mempertahankannya maka Nabi Muhammad s.a.w bersabda "Sesiapa yang mempertahankan hak kehormatan saudaranya yang lain maka baginya pendinding dari api neraka." Sabda Rasulullah s.a.w lagi, "Tidaklah seorang muslim mempertahankan kehormatan saudaranya yang lain kecuali berhak ke atas Allah untuk tidak mengazabnya dalam nerakaNya."

Jelas kepada kita, PMRAM sebagai persatuan yang menjaga kebajikan ahli di Mesir telah sekian lama mempertahankan hak dan maruah mahasiswa di Mesir. Tambahan kepada golongan agamawan, jangan rasa diri anda rendah diri apabila berdepan dengan golongan pembesar. Bukan merendah diri namanya apabila dimaki hamun, dicerca dan diherdik di hadapan khalayak. Itu namanya menghinakan diri. Islam melarang kita menghina diri,tapi menggalakkan kita merendah diri.

Sejak setahun yang lalu, kerap kali pimpinan PMRAM meminta ahli yang diherdik dan diperlakukan sebagai golongan kelas kedua oleh sesetengah pihak supaya tampil mengemukakan bukti dan dilapor secara bertulis. Berbuih mulut pimpinan PMRAM minta tapi sampai ke akhir sesi PMRAM 2009 di bawah saudara Abdul Mu'izz, isu ini terus menyepi dan dibuat tak tahu oleh sesetengah mangsa yang kebanyakannya adalah ahli PMRAM.

Dalam hal ini, saya tak tahu bagaimana mentaliti mereka memandang isu ini. Apakah mereka tidak peka, tak tahu cara nak salurkan maklumat tersebut atau tahu tapi malas nak layan dan serahkan kepada Allah untuk menghukumnya. Kalau yang ketiga itu memang malang sungguh kita. Sudahlah bergelar mahasiswa yang dianggap berkuasa (suara keramat kononnya), menuntut bidang agama dan ditakdirkan menjadi bangsa Melayu. Kalau tengok sejarah orang Melayu dulu-dulu kala, datuk nenek mereka bukan calang-calang orang. Berani berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Kalau tidak masakan timbul nama-mana seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir, Tok Janggut dan Haji Abdul Rahman Limbong. Tapi bila mari ke anak cucu cicit, sifat berani tak boleh nak digunakan seperti datuk nenek dulu. Pelik.Nabib jadi orang Melayu. Kalau jadi bangsa Arab mudah. Tak puas hati, terus terang sebut. Nak bertumbuk sampai berdarah pun tak mengapa sebab lepas tu mereka tak mengenal perasaan "dendam". Bagi mereka bilahabis satu perkara, selesai. Orang Melayu, tak cukup masa hidup,lepas jadi mayat pun masih tak selesai lagi.

Saya terbaca dalam Utusan Malaysia beberapa hari lalu, para pekerja sebuah kilang di Indonesia mogok dan mengadakan demontrasi gara-gara hanya majikannya memanggil salahs eorang pekerja dia sebagai "BODOH". Lepas itu, semua pekerja dia buat demontrasi. Hingga majikannya menarik balik dan memohon maaf atas kesalahan tadi.

Yang paling menyayat hati kalau ada orang menghina golongan agama. Sampai mati kita tak boleh terima selagi mana mereka yang menghina itu tidak bertaubat dan berlutut mengaku salah. Mana boleh maruah pelajar agama dipermainkan. Golongan penuntut ilmu agama mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah. Hingga dalam hadis Nabi s.a.w pun disebut "...hingga ikan dilautan pun meminta ampun dan beristighfar kepada penuntut ilmu Allah..". Ikan yang tiada akal pun boleh meminta ampun kepada penuntut ilmu agama,apatah lagi para malaikat dan makhluk-makhluk lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan