Ahad, 20 Jun 2010

SELAMAT HARI BAPA

Selamat Hari Bapa buat mereka yang bergelar bapa,ayah atau abah di Malaysia, khas buat ayahanda tercinta, Tuan Haji Abdul Karim Mohd Esa, bintang permata yang menjadi penyeri di dalam hati ini.

Walaupun sekian lama kita tak bertemu, tapi doa ayah sentiasa menjadi inspirasi buat anakmu ini, nasihat dan tunjuk ajarmu sentiasa tergiang-ngiang bermain di telinga agar kelak menjadi manusia yang boleh membimbing masyarakat.

Sesungguhnya ayah banyak mendorong aku agar meminati bidang agama semenjak dari kecil, mengajar aku membaca dan memahami kalimah Al-Quran, mengerti tentang agama Islam serta hukum-hakamnya, memulakan pra-sekolah di Tadika Universiti Sains Malaysia (USM) yang mendidik berkaitan agama hingga ke peringkat menengah, memasukkan aku ke Sekolah Maahad Muhammadi Lelaki dan menjadi pendorong utama ke Al-Azhar kira-kira 5 tahun dulu.

Walaupun pada masa itu tawaran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi bidang Pengajian Islam aku perolehi, tapi ayahku tekad juga mahu aku jejakkan kaki ke bumi Mesir. Hasratnya, jika dia tidak boleh mengaji jauh, dia mahukan anaknya ke sana mencari beberapa mutiara ilmu dari lautan ilmu Allah yang tidak terhitung banyaknya. Walaupun orang disekeliling,suara-suara sumbang yang berbunyi pada masa itu menganggap keputusan menolak tawaran ke IPT di Malaysia dan ke bumi Al-Azhar "adalah menolak tuah" tapi ayahku tetap dengan keputusannya. Pegangan yang dipegang seperti yang diajar oleh tok-tok guru, "tuah tak tuah bukan dari kita, itu hak Allah, tambah nak mengaji agama, takkan orang mengaji agama ni tak bertuah."

Dalam usia menjangkau 70 tahun, ayahku yang lahir di daerah Muar,Johor merupakan pesara kerajaan sebagai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Sebelum itu, beliau berkhidmat dalam Askar Melayu beberapa tahun dan sempat berkhidmat ketika pemberontakan Komunis di Malaysia satu ketika dahulu. Pernah berkhidmat di Sabah serta Labuan. Kemudian, di awal tahun 1980-an setelah bertemu jodoh dengan bondaku, beliau menyertai JPJ dan terus menetap di negeri Che Siti Wan Kembang hingga bersara tahun 2002.

Namun katanya, sewaktu di akhir tahun 80-an (sekitar tahun 1988), ayah telah dipindahkan ke Pulau Pinang.Ketika itu aku berusia 4 tahun. Ceritanya, itu semua atas arahan Menteri Besar masa itu, Tan Sri Mohamed Yaakob (Allahyarham) yang mahukan orang yang kuat PAS ditukar ke tempat lain. Seorang lagi kenalan ayah, Haji Hashim namanya (yang berasal dari Kampung Paloh Rawa, Machang) juga ditukar ke Selangor kerana kuat politik pembangkang.

Sejak tahun 1988 hingga hampir tahun persaraan iaitu 2000, kami sekeluarga memulakan kehidupan di negeri Pulau Mutiara. Di sana, semangat ayah terhadap perjuangan Islam makin kuat. Apa tidaknya, di Pulau Pinang mencatat banyak sejarah PAS dan masa itu, Allahyarham Haji Yusof Rawa, mantan Mursyidul 'Am PAS masih menetap di rumah beliau di Sungai Gelugor.

Ayah amat meminati kepada Allahyarham Dato' Asri Haji Muda, mantan Menteri Besar Kelantan terutama kepada pidatonya selain dari pidato Tuan Guru Haji Hadi Awang. Ayah juga banyak mendorong diriku bagi mengenal perjuangan Islam di Malaysia. Kadang-kadang, setiap majlis ceramah penerangan mesti dibawa aku bersama.

Kaset ceramah Haji Hadi, Ustaz Fadhil Nor (Allahyarham), Tok Guru Nik Aziz dan Allahyarham Haji Yusof Rawa yang dibelinya sekitar tahun 80-an dulu masih aku simpan dan diperdengarkan. Ayah cerita,dulu berjuang cukup susah. Kalau anjur ceramah, nak dapat seribu orang pendengar itu, cukup susah. Biasa orang yang akan pergi dengar ceramah, sekitar ratusan orang saja. Tidak seperti hari ini, kalau Tok Guru Nik Aziz atau Mat Sabu ceramah, ribuan akan penuhi tempat ceramah. Dulu orang sangat takut tambah kakitangan kerajaan.

Masa aku putarkan kembali kaset-kaset ceramah yang lama seakan-akan mengiyakan apa yang dikatakan ayah. Masa itu,suara Haji Hadi dan Tok Guru masa itu cukup kuat. Di akhir ceramah diumum jumlah derma. Tak banyak,sekitar ratusan ringgit sahaja. Cuma ada yang datang menderma sebentuk cincin, seutas rantai, gelang dan ada juga yang bagi duit asing, seperti duit Thailand dan Saudi. Semua itu diumum oleh pengerusi majlis di akhir ceramah.

Ayah juga lah yang menerangkan kepada aku berkaitan isu Memali tentang kezaliman pemerintah masa itu. Keinginan untuk aku mengetahui berkaitan apa yang berlaku dalam negara makin membuak-buak menyebabkan masa sekolah, aku akan simpan duit pada setiap hujung minggu bagi membeli akhbar "Harakah" yang akan terbit pada 2 kali seminggu. Dua hari ni, aku takkan makan di kantin sekolah, sebab aku akan simpan duit untuk menantikan kemunculan Harakah.

Setiap keluaran Harakah, aku akan simpan sebagai bahan sejarah terutama kalau ada berkaitan sejarah PAS atau biodata pimpinan, aku akan gunting sebagai keratan dan akan masukkan dalam satu fail khusus (aku harap fail itu masih tersimpan baik di rumah).

Ayah juga minat pengajian agama. Selepas bersara dari kerajaan, ayah banyak habiskan masa tinggal di Pondok Pasir Tumbuh. Dibelinya sebuah pondok dan tinggal di situ. Dulu, waktu sebelum ditukar ke Pulau Pinang, ayah sudah mengaji, masa itu di Masjid Muhammadi., masjid negeri Kelantan. Mengaji kitab dengan Dato' Hasbullah Hasan (mantan Mufti negeri yang masa itu menjadi Imam Besar masjid Negeri,namun ketika ini beliau terlantar sakit di rumahnya,semoga Allah sembuhkan beliau) dan pernah mengaji dengan Allahyarham Dato' Ismail, mantan Mufti negeri. Kata ayah, masa dia bertugas di Sabah dulu, dia mula mengenali dengan Dato' Hasbullah yang bertugas sebagai imam di masjid negeri di Sabah. Masa itu, tak dapat gelaran "Dato'" lagi.

Kerana ayah dan dibantu dorongan bondaku, pada hari ini aku mengenali Mesir, aku dapat mengenali para ulamak di sini, aku dapat mengenali Allah dan Rasul-Nya dan dapat mengenali Maulana Syeikh Soleh Jaafari serta mendampingi Syeikh Abdul Ghani. Perkara yang tentu aku takkan perolehi jika aku berada di Malaysia.

Ya Allah! Setiap apa yang aku perolehi dari nikmatMu dan rahmatMu di sini bersama dengan Saidina Al-Imam Husain, bersama ahli keluarganya, bersama Syeikh Soleh Jaafari, bersama Sayyidi Abdul Ghani, bersama dengan kekasihMu, kau sampaikan pahalanya juga kepada ayah dan bondaku serta mereka yang memberi bantuan serta galakkan hingga aku sampai menjejakkan kaki di sini...

Semoga ayah terus dirahmati Allah hingga ke akhir hayat, dilanjutkan usia dalam ketaatan kepadaNya serta dipelihara dengan rahmatNya dari segala kejahatan jin dan manusia, dibuka pintu keberkatan dan rezeki yang melimpah ruah dari segenap penjuru manakala di akhirat nanti dihimpunkan bersama Rasulullah s.a.w yang merupakan ayahanda kepada Sayyidah Fatimah Az-Zahra' dan putera serta puteri Baginda s.a.w yang lain.

3 ulasan: