Selasa, 19 Julai 2011

KEBANGKITAN MAHASISWA MESIR BERMULA: KITA LAKAR SEJARAH UNTUK GENERASI AKAN DATANG


Solat hajat dan himpunan mahasiswa Mesir yang diadakan semalam bagi saya adalah ledakan bermulanya kebangkitan mahasiswa di Mesir. Pada pengamatan saya sejak bertahun-tahun di sini, itulah antara himpunan terbesar yang pernah dihadiri saya dan rakan-rakan lain. Ibarat pada satu jasad, dicubit paha kanan, paha kiri terasa, maka ribuan mahasiswa dan mahasiswi turun di dataran Kompleks Hayyul 'Asyir bagi menyatakan sokongan kepada rakan mereka yang ditindas dan diugut setelah menyertai himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu. Isunya bukan yang ditindas itu ialah Presiden SUARA, bukan juga kerana PMRAM menyokong BERSIH, bukannya isu Ambiga itu kafir zimmi atau kafir harbi, bukannya isu politik kepartian yang sempit, tetapi isunya ialah penindasan dan penafian hak. Lebih dari itu isu kemanusiaan.

Selain beberapa pelajar kita dari negeri Terengganu dan Perak yang diugut oleh pegawai rumah negeri masing-masing selain Asrama Melayu Abbasiah (ARMA) yang akan dikeluarkan semuanya gara-gara menyertai BERSIH, seorang penuntut Darul Ifta saudara Firdaus Mazlan yang juga Presiden SUARA dikenakan tindakan dibuang dari tempat pengajian beliau.

Saya diminta oleh penganjur untuk mengimami solat hajat selepas solat maghrib. Ketika membacakan doa saya sudah tidak dapat menahan sebak. Mengenangkan nasib yang diterima orang yang mengaji agama. Rasanya kalau kami menuntut jurusan Muzik atau kesenian tentunya kami akan ditatang seperti minyak yang penuh. Sewaktu saya berada dalam Badan Pengurus PMRAM sebelum ini, banyak kali kita mendengar aduan mahasiswa yang ditindas. Rasanya telinga ini mendengar berkali-kali rungutan pelajar yang dipersenda. Bagi mereka orang mengaji agama ini tiada nilai sebab bila balik, apa sumbangan untuk memajukan negara? Sekadar jadi imam terawih dan baca qunut nazilah boleh lah.

Sebelum mengimami solat hajat, saya menyebut agar betapa perlunya membuang dari diri rasa buruk sangka dengan ALLAH. Apa jua yang kita doakan hendaklah baik sangka bahawa ALLAH pasti memakbulkan doa kita. Sekalipun ada orang akan memperli, solat hajat sebelum ini pun seakan-akan tiada kesan. Dah berapa kali solat hajat, lepas Kutub Sittah dulu pun solat hajat, macam tak de kesan pun??

Orang yang bertanya begini adalah orang yang tidak faham. Sementara orang yang berkata untuk mempersenda adalah orang yang jahil. Sedangkan Syeikh Soleh Jaafari mengajar anak-anak muridnya bahawa munajat seorang hamba kepada ALLAH adalah "rasa lazat dan manis" sekalipun kelak ALLAH tak sudi memustajabkan doa hambaNya. Akan tetapi ALLAH tidak pernah mungkir janji. Paling kurang, hati kita akan merasa lega sewaktu merayu dan merintih di hadapan ALLAH.

Saudara Firdaus Mazlan yang berucap kemudiannya menceritakan satu-persatu apa yang menimpa beliau. Dalam pendedahannya, ternya pihak kedutaan Malaysia terlibat secara langsung. Kata beliau, terdapat perjumpaan khas antara pihak Duta dengan Mufti Mesir bagi memastikan beliau tidak lagi dapat meneruskan pengajian. Akhirnya ketetapan dari Darul Ifta' dibuat dengan penyingkiran beliau.

Detik peristiwa yang berlaku di dataran Hayyul 'Asyir ini juga perlu dicatat dalam sejarah apabila dua pegawai kebajikan Rumah Anak Negeri iaitu Selangor dan Kelantan berada satu pentas dengan pimpinan PMRAM termasuk Presiden Perubatan dan ABIM. Apakah makna semua ini? Jika semuanya bersatu, maka sebenarnya memberi isyarat bahawa nusrah ALLAH sudah hampir. Lihatlah detik-detik hari terakhir Mubarak di kemuncak kekuasaan. Rakyat tidak kira agama, tua muda, kaya miskin, tentera, para ulamak semuanya bergandingan hanya selepas tiga kali Jumaat, Mubarak dijatuhkan oleh ALLAH.

Bagi saya jika mood mahasiswa Mesir ini bertahan, saya yakin nasib saudara dan rakan kita itu akan terbela insya ALLAH. Kebangkitan mahasiswa akan bermula. Jika rakyat Mesir telah berjaya melakar lembaran sejarah dalam negara mereka dengan tinta peluh dan darah mereka, kita hanya sekadar turun dan memerlukan sedikit masa,wang dan keringat, apalah sangat berbanding perjuangan kebangkitan rakyat Mesir dan Tunisia yang mengorbankan ribuan nyawa termasuk kebangkitan mahasiswa di Indonesia yang menumbangkan Soeharto tahun 1998 sebelum ini. Mari kita tulis sejarah untuk tatapan adik dan anak-anak kita agar mereka dapat manfaat dengan kelebihan ilmu yang ada di Mesir ini kelak.

Ya ALLAH, Tuhan yang menjatuhkan Mubarak, jatuhkanlah mereka yang memusuhi kami.

Ya ALLAH, Tuhan yang membebaskan Mesir, berikan kebebasan bersuara kepada kami.

Ya ALLAH, Tuhan yang telah membersihkan Amnu Daulah dan polis Mesir, bersihkan pasukan polis di negara umat Islam.

Ya ALLAH, Tuhan yang membebaskan Kheirat Shatir Naib Mursyidul 'Am Ikhwan, Hasan Malek dan pemimpin Ikhwan yang lain, bebaskan mahasiswa dari cengkaman musuhMu..

Ya ALLAH, Tuhan yang memenjarakan Jamal dan 'Ala' Mubarak, penjarakan hati-hati musuh kami sehingga mereka buta mata hati.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan