Selasa, 6 April 2010

NUKILAN KHAS BUAT PRESIDEN SAUDARA ABDUL MU'IZZ


Penuh segak,bergaya di Bazar Brunei (atas) Tiga generasi Presiden PMRAM. Pimpinan PMRAM datang silih berganti. Pemimpin bestari anugerah Tuhan buat kami (gambar bawah)

Menghitung hari-hari terakhir dalam Badan Pengurus, saya terdetik ingin membuat catatan ringkas yang saya dedikasi buat teman saya, saudara Abdul Mu'izz yang mengemudi bahtera PMRAM tahun ini. Kami mula berkenalan dalam program Kolokium Ilmuan-Q PMRAM masa tahun pertama kami tiba di Mesir. Masih ingat lagi adhoc yang bersama kami waktu itu antaranya saudara Firdaus Mazlan (Ustaz Alang), saudara Nazim (mantan BP), saudara Ridzuan Yahya (mantan Bendahari PMRAM) dan tidak dilupakan saudara Yazid Pardi. Saya mengenali saudara Abdul Mu'izz atas sikap semangat dan sering mengambil bahagian dalam setiap acara yang dianjurkan. Teman-teman saya yang lain rupanya telah mengenali beliau lebih awal ketika kursus anjuran BTN di Selangor hanya beberapa bulan sebelum kedatangan kami ke Mesir. Pada masa itu,saya tidak dapat menyertainya kerana cuti saya tidak diluluskan oleh pihak sekolah yang saya mengajar.

Sekitar tahun 2004 itu jugalah,tercetusnya gelombang kebangkitan para pelajar Selangor yang bangkit setelah ditindas oleh dua orang pegawai yang dihantar sebelum itu. Sebelum En.Idris namanya En.Latif. Salah seorang yang turut sama bersama gelombang itu ialah Abdul Mu'izz. Antara cara terbaik selepas kami tamat program Q yang dianjurkan, Abdul Mu'izz telah mencetuskan satu cadangan untuk batch kami ini menggerakkan usrah sendiri. Tambahan katanya peringkat Selangor masih belum menyusun usrah untuk adik-adik baru. Kata beliau, sementara siap disusun,elok kita buat usrah dulu. Lagipun tarbiyah Q masih panas-panas. Antara yang terlibat beliau, saya, saudara Wan Hafiz, Khairul Anuar Ismail, Muaz Lokman dan saudara Syazwan (kini menuntut di Universiti Madinah). Seingat saya, kerap kali juga usrah berjalan. Kalau tak dibuat rumah Selangor (masih ingat bilik saudara Mu'izz di tingkat dua 201), kami akan jumpa di rumah saya (masa tu di depan Rumah Pulau Pinang,Hayyu Sabie). Pernah sekali saudara Mu'izz tiada suara.Bila kami tanya katanya dia bergaduh dengan pegawai. "Pegawai tak bagi kami guna mic untuk azan, ana berdiri depan pintu surau, ana azan tanpa guna mic!" .Masa tu kami orang Kelantan saling berpandangan satu sama lain, hebat sungguh semangat beliau. Dalam usrah, kami akan saling berkongsi masalah. Antara yang selalu ditanya tentang masalah anak-anak Selangor yang tertindas hanya kerana kebersamaan mereka bersama PMRAM. Tambahan lagi, masa itu Selangor adalah BKAN taakhi dengan Kelantan. YDP kami masa itu, Ustaz Nik Azran banyak membakar semangat kami adik-adik baru tentang betapa perlu kita ambil cakna kepada teman yang lain. Dalam Q juga kami dididik supaya perlu ada sensitiviti dengan rakan seperjuangan lain. Jangan kita senang, mereka susah. Itu bukan kawan namanya bila membiarkan temannya kelaparan,sedangkan perut sendiri kekenyangan.

Tahun pertama itu juga,saudara Abdul Mu'izz memperkenalkan pada kami kelas-kelas pengajian. Antaranya kelas di mudhiyafah Syeikh Ismail Sodiq 'Adawi. Yang tidak pernah ditinggalkan ialah pengajian bersama Syeikh Nurudin. Bahkan beliaus ering kelihatan duduk bersebelahan syeikh pada setiap pengajian dengan mengenakan pakaian jubah dan berserban.

Usrah kami terhenti seketika apabila beliau pulang ke Malaysia pada tahun 2006. Selepas kembali dari tanahair, beliau dicalonkan Badan Pengurus PMRAM tahun 2007. Sekalian kami yang pernah berusrah bersamanya bangga. Jawatannya sebagai Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan (BPP) di bawah Presiden ketika itu,Ustaz Hairul Nizam. Turut tercalon masa itu sahabat kami,saudara Khairul Anuar Ismail sebagai Ketua Badan Komunikasi dan Bahasa Arab (BKBA). Yang akhirnya kedua-dua mereka bergandingan untuk sesi 2008 apabila saudara Khairul Anuar dilantik presiden dan timbalannya saudara Abdul Mu'izz.

Sewaktu saudara Abdul Mu'izz mengetuai BPP, saya bekerja di bawah beliau sebagai ketua pengarang PRISMA. PRISMA sebuah buletin yang diedarkan secara percuma bagi memuatkan berita PMRAM.Seingat saya beliau BP angkat kepada Pahang dan DPM Shubra. Tahun itu juga,beliau merupakan Pengarah Minggu Taaruf dan Silaturrahim (MPS)-yang kini ditukar kepada KEJORA. Menjelang Muktamar Sanawi PMRAM, beliau merupakan timbalan Pengarah I kepada saudara Rasul bin Amat manakala saya timbalan pengarah III.

Untuk tahun kedua dalam PMRAM, beliau dilantik Ketua Lajnah Perancang dan panitia, bergandingan dengan saudara Khairul Anuar,presiden ketika itu. Saya merupakan Badan Pengurus baru mewarisi portfolio BPP yang dipegang beliau sebelum itu. Bermula dari A sampai Z beliau ajar satu persatu tentang BPP. Memang susah kerja BPP ni. Banyak kena ingat etika dan berurusan dengan orang luar.

Menjelang peralihan kuasa PMRAM 2009, takdir Allah saudara Abdul Mu'izz dipilih untuk memimpin PMRAM.Pelbagai tanggapan terhadap beliau dibentangkan hanya berdasarkan persepsi. Hingga ada yang membayangkan kejatuhan PMRAM bakal melanda kerana ia dipimpin oleh seorang yang kononnya berwatakan tidak mesra,garang dan susah nak senyum. Mudah betul mereka mengukur kemampuan pimpinan. Memerintah dan memimpin dengan akal,bukan dengan senyuman.

Teringat bila Tok Guru Nik Aziz memimpin Kelantan akhir tahun 1990 dulu, ramai yang beranggapan kerajaannya takkan bertahan lama. Anggapan mereka hanya kerana pemimpin kerajaan pakai kain pelikat,berjubah dan berserban. Sewaktu di sekolah menengah dulu, ayah saya suka belikan kaset Allahyarham Ustaz Buniyamin Yaakob hinggakan saya jadi peminat beliau. Beliau bekas ahli parlimen Bachok dari tahun 1990 hingga 1999, antara tahanan ISA dalam operasi Lalang. Isteri pertamanya tidak siuman selepas beliau dibebaskan dari tahanan kerana setiap hari diganggu oleh pihak SB. Kata Allahyarham dalam loghat Kelantan, "Kalau nak ikut merintah tengok ko pakaian,baju cuba bui (bagi) pakai baju kot kat kera, tengok dia pandai memerintah ke dok? Merintah bukan dengan baju, guna otak!". Kes yang sama juga berulang pada PMRAM. Bukan dibangkit oleh musuh PMRAM, tapi mereka yang boleh dikelaskan sebagai orang yang faham dan banyak bekerja dengan PMRAM.

Akhirnya, beliau telah berjaya membuktikan bahawa persepsi orang tersbeut adalah salah. Beliau juga berjaya membuktikan sifat ketegasan dan garang yang diberikan dapat digunakan untuk PMRAM. Muhasabah kepada beliau tentang pemimpin tak mesra dan tak senyum diterima dan diperbaiki dari semasa ke semasa. Setahu saya beliau telah berusaha dan lakukan yang terbaik. Lepas ni, saya akan ketengahkan beberapa lontaran idea yang sempat saya selidiki sepanjang bersama beliau.

1 ulasan:

  1. salam kemah tulisan ni abe malik.
    terharu ado..
    huhu... gitulah nasib pimpinan akan jadi mangsa persepsi...
    cuma pndai ko dok pimpinan nk urus persepsi tersebut...

    BalasPadam