Selasa, 10 Januari 2012

JALAN TERAKHIR MUSUH IKHWAN MUSLIMIN BAGI MEMASTIKAN FJP TEWAS


Pelbagai taktik digunakan oleh musuh Ikhwan Muslimin bagi melihat sayap politiknya, FJP tersungkur dalam pilihanraya kali ini. Rupa-rupanya musuh Ikhwan Muslimin bukan hanya Mubarak dan rejimnya sahaja.

Seorang pimpinan Ikhwan Muslimin, Dr.Mahmud Ghazlan yang juga jurucakap rasmi Ikhwan Muslimin ketika menghadiri majlis memperingati As-Syahid Syeikh 'Imad 'Effat yang terkorban dalam peristiwa di hadapan bangunan 'Jemaah Menteri' beberapa bulan lalu. Majlis tersebut dianjurkan oleh Kesatuan Wartawan Mesir, kebetulan isteri As-Syahid merupakan wartawan akhbar Al-Ahram. Antara tetamu yang dijemput adalah wakil Ikhwan Muslimin. Mursyidul 'Am Dr.Mohammad Bad'ie telah mewakilkan kepada Dr.Mahmud Ghazlan.
Mahmud Ghazlan, jurucakap rasmi Ikhwan Muslimin

Selesai bacaan Al-Quran, tiba giliran beliau untuk berucap, tiba-tiba segelintir pemuda yang hadir bangun mengganggu ucapan dan tidak membenarkan beliau berucap. Kumpulan pemuda tersebut tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan Ikhwan Muslimin yang tidak turun ke Tahrir sebelum ini menyertai himpunan pada beberapa kali hari Jumaat. Mahmud Ghazlan yang terganggu dan tidak dapat meneruskan ucapan terpaksa meninggikan suara dengan berkata "Inikah akhlak kamu?!" sambil bertekad untuk meninggalkan pentas tetapi dihalang oleh penganjur yang meminta beliau menutup ucapannya dengan bacaan doa. Selesai berdoa untuk roh As-Syahid, Mahmud Ghazlan dengan nada kecewa menyatakan kepada pemuda tersebut "Ketika kami turun ke Tahrir (iaitu sebelum revolusi) dan terdapat beberapa kumpulan yang tidak menyertainya, kami tidak pernah mencerca mereka walau sepatah perkataan tetapi apabila kami (Ikhwan Muslimin) mengambil keputusan tidak turun hanya pada beberapa kali Jumaat, kami dihina dengan pelbagai tohmahan."

Halangan pertama yang dihadapi Ikhwan Muslimin selepas revolusi ialah keputusan Majlis Tentera yang menangguhkan Pilihanraya Umum yang sepatutnya telah diadakan pada bulan September tahun lalu. Majlis Tentera yang masih dikuasai saki-baki rejim Mubarak bimbang jika pilihanraya diadakan awal, maka Ikhwan Muslimin akan mencapai kemenangan besar kerana sebahagian besar parti-parti aliran sekular lain masih belum bersedia mengahadapinya. Tapi takdir ALLAH, semakin ditangguhkan, semakin cemerlang pencapaian Ikhwan Muslimin.

Ujian paling besar buat Ikhwan Muslimin ialah ketika berlangsung Pilihanraya Umum pusingan pertama pada 28 November lalu, berlakunya peristiwa berdarah di Tahrir yang menyaksikan beberapa nyawa terkorban. Pada pusingan kedua pula, berlaku rusuhan seterusnya di Jalan Mohammad Mahmud, hadapan bangunan Kementerian Dalam Negeri yang mengorbankan beberapa nyawa. Peristiwa yang berlaku ketika pilihanraya setiap pusingan sedang berlangsung tersebut seakan-akan dirancang bagi menggagalkan proses pilihanraya. Dalam menghadapi situasi yang amat getir ketika itu, politik Ikhwan Muslimin bijak apabila tidak mudah 'ditipu' dengan permainan politik kotor musuh mereka bagi mengheret Ikhwan ke kancah perbalahan. Lalu Ikhwan Muslimin mengambil pendirian untuk tidak menyertai himpunan pada Jumaat di Tahrir ketika mana puluhan parti-parti politik lain menyertainya. Ternyata, keputusan yang amat berkat itu merupakan keputusan bijak untuk tidak terperangkap dalam 'jerangkap samar' yang dipasang musuh. Dr.Mohammad Bad'ie mengulas bahawa "Ikhwan Muslimin mempunyai Mursyid yang dipandu oleh Maktab Irsyad" yang diberikan petunjuk oleh ALLAH dalam setiap keputusan yang diambilnya.

Terbaru, melihat kemaraan Ikhwan Muslimin yang telah memperolehi 207 kerusi, cara terakhir yang digunakan oleh musuh Ikhwan ialah melalui mahkamah. Beberapa daerah yang sepatutnya telah selesai mengadakan pilihanraya pada pusingan pertama dan kedua terpaksa ditangguhkan atas keputusan mahkamah selepas difailkan oleh calon lawan FJP di beberapa kawasan.

Terbaru, mahkamah Ismailiyyah menangguhkan pilihanraya di wilayah Selatan Sinai yang sepatutnya berlangsung pada 10 dan 11 Januari ditunda kepada 14 dan 15 Januari ini. Selain itu, turut ditangguhkan ialah pilihanraya bagi daerah pertama wilayah Daqahliyah dan Qina.

Sebelum ini juga, mahkamah telah menangguhkan pilihanraya bagi daerah Sahil di Kaherah, dua daerah di Asyut, satu daerah di Iskandariah dan calon SENARAI di Aswan.

Bahkan terdapat hakim-hakim yang menjadi ketua tempat mengundi melakukan beberapa tindakan yang bercanggah dengan peraturan seperti melarang orang buta huruf dibantu untuk mengundi, menghalau wakil-wakil calon berada dalam pusat mengundi atas alasan "ruang amat sempit" dan tidak mempedulikan rasuah dna politik wang dalam pilihanraya yang dilakukan oleh golongan fulul,saki-baki rejim Mubarak yang merasuah pengundi untuk menyokong calon bekas rejim mereka.

Keputusan-keputusan mahkamah tersebut diharapkan akan menyebabkan Ikhwan Muslimin memboikot pilihanraya atau mengadakan himpunan membantah keputusan mahkamah tetapi yang berlaku tidak seperti yang disangka. Mengulas lanjut berkaitan penangguhan mahkamah ini, Mursyidul 'Am Dr.Mohammad Badie berkata, "Kami menghormati keputusan mahkamah bahkan kami antara mereka yang pertama menghormatinya". Demikian sikap pimpinannya yang tidak melenting atau melatah seperti apa yang diharapkan oleh musuh Ikhwan Muslimin. Tetapi semuanya tidak berlaku yang menyebabkan perancangan mereka gagal kesemuanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan