Jumaat, 1 Julai 2011

DEMONTRASI TUNTUT KEBEBASAN BERTERUSAN PADA JUMAAT HARI INI

Hari ini, Jumaat menyaksikan demontrasi diadakan di Syria, Yaman dan Mesir. Krisis kepimpinan negara yang tiada berkesudahan itu khasnya di Yaman dan Syria berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Di Yaman, demontrasi ribuan rakyat diadakan oleh dua puak, satu golongan yang menentang Presiden Ali Abdullah Saleh dan satu puak lagi yang menyokong. Para penyokong menamakan Jumaat hari ini sebagai "Jumaat Thabat" iaitu Jumaat bagi mengekalkan sokongan mereka kepada Saleh. Sementara golongan penentang meneruskan asakan mereka khasnya kepada Timbalan Presiden, Abdu Rabbuh Mansur Hadi bagi memenuhi tuntutan agar diwujudkan Majlis Peralihan Kerajaan namun Mansur Hadi menegaskan Saleh akan terus memegang kuasa hingga pilihanraya Presiden kelak.
"YA untuk muktamar pembebasan negara, TIDAK untuk dialog bersama pembunuhan"

Di Syria pula, rakyat yang menamakan hari Jumaat ini sebagai "Jumaat Irhal" (bukan Ilhal seperti yang pernah ditulis dalam satu artikel Utusan Malaysia sebelum ini). Irhal bermaksud "Pergi" atau bahasa kasarnya "Berambus!". Namun seperti biasa, operasi ketenteraan masih berjalan dan hari ini menyaksikan 11 orang maut dengan tembakan kereta kebal tentera Syria serta mencederakan puluhan yang lain. Berita melaporkan,aktivitis hak asasi manusia berkata, Halab, bandar kedua terbesar di Syria menyaksikan tunjuk perasaan terbesar hari ini sementara tiga dilaporkan terbunuh di bandar Homs.

Sementara di Mesir, ribuan rakyat sekali lagi membanjiri dataran Tahrir bahkan ada yang akan berkampung di dataran tersebut hingga mahkamah menyegerakan perbicaraan ke atas semua tertuduh atas kesalahan membunuh penunjuk perasaan revolusi 25 Januari lalu. Antara yang menyertai tunjuk perasaan ini kebanyakan adalah keluarga mangsa yang terkorban. Rata-rata mereka meminta hanya satu sahaja keputusan mahkamah yang mereka minta ke atas pembunuh penunjuk perasaan iaitu hukuman mati.

Perhimpunan yang sama turut diadakan di Iskandariah, bandar yang diisytiharkan darurat semasa tempoh revolusi selain Kaherah Kubra dan Suwes. Antara yang menjadi mangsa sebelum tercetusnya revolusi 25 Januari ialah pembunuhan Khalid Sa'id dan seorang pengikut Salafi, Syeikh Bilal yang kedua-duanya mati dalam tahanan polis. Lebih memeranjatkan kepada keluarga mangsa bunuh, mereka yang dituduh antaranya pegawai tinggi polis sebelum ini dibenarkan ikat jamin dan dibebaskan oleh mahkamah. Ia tentu mengundang kemarahan dari keluarga mangsa.

Hari ini pula, Majlis Angkatan Tentera Mesir mengeluarkan ketetapan agar ditubuhkan tabung bagi menjaga kebajikan anggota keluarga mangsa yang terbunuh dan mereka yang cedera dan masih menerima rawatan. Ia diterima baik oleh rakyat sekalipun menganggap ia satu keputusan yang agak lewat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan