Ratusan penunjuk perasaan di wilayah Suwes mengadakan tunjuk perasaan semalam sebagai membantah keputusan mahkamah membenarkan ikat jamin ke atas 7 orang bekas pegawai polis yang dituduh membunuh penunjuk perasaan pada kebangkitan rakyat Januari lalu. Kebanyakan penunjuk perasaan yang berkumpul di medan Syuhada' bandar Suwes terdiri dari keluarga mangsa yang terkorban membantah keputusan mahkamah yang dianggap 'berat sebelah' kerana bukan sahaja melengah-lengahkan perbicaraan ke atas tertuduh tetapi membenarkan mereka diikat jamin. Antara tertuduh ialah bekas Ketua Polis wilayah Suwes Muhammad Abdul Hadi. Pihak Jabatan Peguam Negara juga mempertikai keputusan mahkamah tersebut.
Lebih mengejutkan puluhan penunjuk perasaan yang tidak berpuas hati itu yang berkumpul di depan ibu pejabat Majlis Tentera wilayah telah bertindak menutup jalan utama Suwes-Kaherah untuk beberapa jam.
Beberapa minggu sebelum ini rakyat Mesir dikejutkan dengan keputusan mahkamah Iskandariah yang membenarkan ikat jamin ke atas beberapa pegawai polis yang dituduh membunuh penunjuk perasaan di wilayah itu. Sebahagian besar rakyat meyakini sekalipun rejim Mubarak disingkirkan namun masih ramai dari kalangan penyokong setianya bermaharajalela di jabatan dan institusi kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan