Khamis, 7 Julai 2011

HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT KEDUA ESOK DI TAHRIR DAN SELURUH MESIR

Esok,Jumaat hampir semua bandar-bandar utama di Mesir yang utamanya di pusat utama di Medan Tahrir akan berlangsung tunjuk perasaan khas bagi menuntut kerajaan supaya menyegerakan perbicaraan terhadap Mubarak dan pembantunya yang lain. Dengan menamakan Jumaat esok sebagai "Jumaat Desakan" iaitu mendesak kerajaan agar segera membawa mereka yang zalim ke muka pengadilan, ia dikira antara himpunan terbesar rakyat selepas revolusi 25 Januari. Hampir semua parti dan pertubuhan politik bekerjasama dengan pertubuhan pemuda dan pergerakan pembaharuan mengadakan tunjuk perasaan esok. Ikhwan Muslimin dalam kenyataan rasmi semalam turut menyatakan kesediaan untuk menyertai tunjuk perasaan esok selepas beberapa minggu memboikot bertujuan memberikan peluang kepada kerajaan pada hari ini bertindak atas kehendak rakyat. Namun, setelah berlalu 100 hari kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dr.Essam Sharf, tiada perubahan politik drastik yang diminta rakyat dipenuhi.

Di Tahrir, sumber Ikhwanonline dipetik hari ini menyebut, dataran bersejarah tersebut bersedia menerima jutaan rakyat yang bakal membanjiri dataran tersebut esok. Antara yang akan menyertai ialah keluarga dan kaum kerabat mangsa yang terkorban sepanjang revolusi 25 Januari lalu menuntut agar mereka yang terbabit dibunuh balas (Qisas).

Di Iskandariah, sekitar 30 buah pertubuhan politik menyeru agar rakyat yang prihatin terhadap keluarga mangsa yang terkorban agar keluar beramai-ramai esok menuntut perbicaraan disegerakan. Mereka juga sejak petang hari ini, Khamis telah mendirikan khemah-khemah untuk berkampung di Jalan Kornish, mantiqah Mahatah Raml mengumumkan akan terus berada di situ hingga tuntutan rakyat dipenuhi. Demontrasi sama akan dilakukan di Medan Sa'ad Zaghlul. Petang ini juga, para aktivis politik telah mengadakan kempen dan lawatan sekitar bandar bagi memberi kesedaran kepada rakyat pentingnya tuntutan mereka perlu dipenuhi kerajaan. Antara tuntutan tersebut ialah: Segera membicarakan di mahkamah pegawai polis dan Amnu Daulah yang terlibat membunuh mangsa sepanjang revolusi di seluruh Mesir, meminta disegerakan pendakwaan mahkamah ke atas Mubarak dan keluarganya serta segera mendakwa orang-orang kanan Mubarak seperti Maghribi, Anas El-Faqi, Yusuf Boutrus Ghali (nama bekas menteri Mubarak) dan selain mereka.

Keadaan yang sama turut dilihat berlaku di wilayah Sinai Utara apabila beberapa pertubuhan politik termasuk Ikhwan Muslimin menyeru seluruh rakyat menyertai tunjuk perasaan Jumaat esok sebagai pembelaan kepada darah mereka yang terkorban. Selain meminta agar dipercepatkan perbicaraan mahkamah ke atas Mubarak dan bekas menterinya, mereka juga meminta agar jabatan dan agensi kerajaan "dibersihkan" dari golongan yang pro-Mubarak. Mereka juga menyeru seluruh rakyat agar menghormati undang-undang dan menjauhi perkara yang boleh merosakkan imej revolusi seperti rusuhan dan menghalang laluan dan jalan-jalan utama selain menyeru penyertaan masyarakat himpunan di Masjid Rifa'ie, medan Kebebasan selepas solat Jumaat esok.

Di wilayah Buhaira, Ikhwan Muslimin dengan kerjasama 15 buah parti politik termasuk Parti Kebebasan dan Keadilan menyeru rakyat agar menyertai perhimpunan yang bakal bergerak dari semua masjid utama di pusat bandar menuju ke medan Jam bagi menyatakan tuntutan rakyat agar disegerakan perbicaraan kepada Mubarak selain meminta bunuh balas (Qisas) kepada mereka yang terlibat membunuh penunjuk perasaan sepanjang revolusi. Parti Kebebasan dan Keadilan dalam kenyataan rasmi bertajuk "Selamanya..Revolusi Tidak Akan Sia-Sia" menyebut "Hingga darah mereka yang terkorban ditebus kembali, hingga segala tuntutan rakyat dipenuhi, Revolusi adalah Yang Pertama.."Mereka turut menyifatkan kes perbicaraan ke atas yang terlibat dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa "amat perlahan" dan seakan-akan ada kompromi dari kerajaan hari ini apabila ada tertuduh yang boleh diikat jamin.

Di wilayah Suwes, wilayah yang menyaksikan kebangkitan rakyat yang dahsyat hingga perintah berkurung dikeluarkan turut memperlihatkan kebangkitan rakyat kali kedua esok, Jumaat. Ikhwan Muslimin yang merancang perkhemahan pemudanya hari ini, Khamis (7 Julai) menangguhkan perkhemahan tersebut kepada Sabtu (9 Julai) bagi memberi peluang kepada pemudanya menyertai rakyat dalam tunjuk perasaan di bawah tema "Keranamu Mesir.."

Kempen turun ke Tahrir turut disebarkan melalui laman sosial Facebook yang meminta rakyat agar beramai-ramai turun ke medan Tahrir Jumaat esok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan