Perbicaraan terhadap Presiden Mesir yang digulingkan, Husni Mubarak kini disambung semula selepas hampir tiga bulan tertangguh. Ia kerana dalam tempoh tersebut, terdapat para peguam rakyat yang terkorban telah memfailkan terhadap Mahkamah Agung untuk meminta hakim yang membicarakan kes Mubarak ini, Tuan Ahmad Ref'at ditukar dengan hakim lain.
Ini kerana Hakim Ref'at didapati mempunyai kaitan dengan tertuduh keempat iaitu Husin Salim, jutawan Mesir dan kroni utama Mubarak. Terdapat dakwaan bahawa Husin Salim telah menjadi 'orang tengah' melantik adik Hakim Ref'at ke jawatan kerajaan di bawah pejabat Mubarak. Kes tersebut telah selesai apabila mahkamah menolak permohonan para peguam dan mengekalkan Hakim Ref'at sebagai hakim yang akan mendengar kes Mubarak ini. Selain itu, para peguam tersebut diarah membayar wang ganti rugi.
Hakim Ahmad Ref'at
Selain Mubarak, tertuduh yang lain ialah kedua-dua anaknya, Jamal dan Ala'a, bekas Menteri Dalam Negerinya, Habib 'Adli, jutawan Mesir dan kroni Mubarak, Husin Salim (melarikan diri ke Spain dan dilaporkan sedang sakit tenat) selain enam orang timbalan dan pembantu Menteri Dalam Negeri antara mereka ialah Ketua Pasukan Polis yang paling digeruni, Amnu Daulah, Hasan Abdul Rahman.
Perbicaraan diteruskan walau ditangguh beberapa hari dan bermula Isnin lalu hingga hari ini, Khamis, mahkamah membenarkan bagi pihak pendakwaan untuk mengemukakan hujah dan bukti. Perbicaraan dijalankan secara tertutup dan tidak lagi dibenarkan dibuat secara langsung seperti sebelum ini.
Kemunculan terbaru Mubarak ada kali ini; Mubarak dilihat berpakaian biru, berbeza lebih tiga bulan lalu iaitu hari pertama dia diheret ke mahkamah, Mubarak dilihat berpakaian serba putih-seperti tertuduh yang lain, kecuali Habib 'Adli, bekas Menteri Dalam Negerinya.
Kemunculan terbaru Mubarak yang berpakaian biru seperti banduan mengejutkan banyak pihak berbeza pada kali pertama Ogos 2011 lalu (gambar bawah)
Perlu dijelaskan, terdapat perbezaan warna pakaian antara mereka yang masih menjalani proses perbicaraan mahkamah dengan mereka yang sedang menjalani hukuman penjara atau banduan.
Bagi mereka yang masih dibicarakan, mereka perlu mengenakan pakaian serba putih manakala mereka yang sedang menjalani hukuman penjara perlu mengenakan pakaian serba biru.
Habib 'Adli, bekas Menteri Dalam Negeri sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun yang dikenakan kepadanya kerana sabit kesalahan 'menyalahgunakan kuasa sewaktu menerajui KDN'.
Beza antara pakaian Ala'a Mubarak (gambar kiri) yang berwarna putih dan Habib 'Adli (gambar kanan) yang berpakaian biru
Berbeza pakaian tertuduh yang lain iaitu Mubarak, dua orang anaknya, Jamal dan Ala'a serta 6 orang pembantu kanan Adli sewaktu di KDN dahulu. Kesemua mereka belum lagi menjalani hukuman penjara tetapi kenapakah Mubarak telah mengenakan pakaian biru seperti banduan yang bersalah?
Beberapa ahli politik yang agak terkejut dengan kemunculan terbaru Mubarak ini membuat kesimpulan bahawa Mubarak 'telah menghukum' dirinya sebelum mahkamah menghukum paling kurang penjara untuknya tetapi keluarga mangsa yang terokorban sepanjang revolusi lalu mahukan hukuman gantung sampai mati!
Bahkan, ketika perbicaraan dijalankan, puluhan kalangan mereka berhimpun di perkarangan Akademi Polis di Tajammuk Khamis yang dijadikan mahkamah perbicaraan. Mereka berhimpun selain membawa sepanduk mahu Mubarak digantung dan membawa poster anak dan keluarga mereka yang terbunuh. "Jika Mubarak dilepaskan (oleh mahkamah), kami sendiri akan 'gantung dirinya'!" jerit salah seorang dari kalangan mereka. Mungkin mereka merujuk terhadap satu kes terbaru yang berlaku di Sayyidah Zainab apabila mahkamah membebaskan anggota polis yang dituduh membunuh rakyat daerah Sayyidah Zainab di balai polis daerah tersebut pada 'Jumaat Kemarahan" 28 Januari lalu.
Rakyat yang berhimpun di luar mahkamah mahukan Mubarak digantung
Sebagai mengakhiri penghujahan hari ini, Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara yang mewakili pihak pendakwaan, Mustafa Khatir berkata, terdapat rakaman perbualan yang jelas antara 'orang kanan' di Kementeri Dalam Negeri sewaktu kebangkitan rakyat yang meminta semua pegawai tertinggi polis memberikan taklimat kepada pasukan keselamatan untuk bertindak melepaskan tembakan kepada penunjuk perasaan.
Khatir berhujah, bahawa Presiden Mubarak harus dipertanggungjawabkan kerana dia merupakan ketua negara ketika itu. "Sekalipun polis bertindak ganas, dia memiliki kuasa untuk mengekang kekejaman tersebut. Tetapi dia sendiri yang mengeluarkan arahan tersebut".
Kata Shatir, "Pada tahun 1997, satu kejadian berdarah telah berlaku di wilayah bersejarah, Luxor apabila beberapa pelancong asing mati di serang oleh lelaki bersenjata di jalan tengah padang pasir. Tertuduh (Mubarak) ketika itu menjadi Presiden negara telah turun sendiri ke kawasan kejadian dan mengarahkan siasatan dilakukan serta-merta selain memecat Menteri Dalam Negeri, Hasan El-Alfi."
"Persoalannya di sini, adakah darah pelancong asing lebih berharga dari darah rakyat sendiri?"
Khatir juga menolak bahawa pembunuhan penunjuk perasaan didalangi oleh anasir luar bahkan katanya, "ia daripada pasukan keselamatan dalam negara sendiri".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan