- Rakyat Syria keluar lagi selepas solat Jumaat hari ini, Jumaat pertama dalam tahun 2012. Mereka telah menamakannya dengan Jumaat "Jika kamu menolong ALLAH, Dia pasti akan menolong kamu". Ia diambil daripada petikan firman ALLAH "إن تنصر الله ينصركم".
- Ia adalah minggu kedua demonstrasi dibuat setelah Liga Arab menghantar rombongan rasmi mereka ke negara bergolak itu bagi melihat dan membuat laporan lebih dekat apa yang berlaku. Keputusan Liga Arab itu dibuat setelah beberapa tindakan yang tegas diambil (bagi pandangan mereka walhal sebenarnya tidak langsung menakutkan rejim Basyar.
- Antara tindakan yang dibuat oleh Liga Arab bagi mengekang keganasan rejim Asad itu ialah:
2) Tidak membenarkan 17 orang kenamaan dan pimpinan tertinggi Syria memasuki mana-mana anggota Liga Arab. Antara 17 orang nama yang disenarai hitamkan tersebut ialah Maher Al-Asad, adik kandung Basyar yang juga ketua tentera selain Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis negara.
3) Tidak membenarkan semua bank negara Arab membuat urusan dengan Bank Syria.
4) Membekukan aset Basyar Al-Asad di negara-negara Arab.
"Rakyat Syria sedang disembelih wahai masyarakat Arab" kertas putih ini tertulis.
- Demikian tindakan yang dilakukan oleh Liga Arab sebagai satu 'hukuman berat' buat rejim itu. Tetapi semua itu langsung tidak memberikan kesan kepada rejim. Sampai ke tahap mana sangat tindakan tersebut boleh menginsafkan rejim Basyar yang semakin menggila itu jika setakat menggantung keanggotaan Syria dari Liga Arab yang hanya dilihat sebagai 'boneka' Barat dan memiliki kuasa yang amat terhad itu? Walaupun Liga Arab diketuai seorang pimpinan baru iaitu Nabil 'Arabi (bekas Menteri Luar Mesir) yang menggantikan Setiausaha Agung sebelum ini, 'Amr Musa, tapi sejarah telah membuktikan Liga Arab sebelum ini hanya sebagai 'patung cendana' yang tidak mampu bertindak apa-apa ketika Amerika dan sekutunya menyerang Iraq dan Afghanistan. Tidak habis dengan sidang media dan mesyuarat mereka. Lihat isu Palestin, puluhan tahun saudara kita di sana menderita.
- Begitu juga tindakan-tindakan Liga Arab yang lain, hanya ditertawakan oleh Basyar. Jika hanya menghalang mereka memasuki negara Arab, puluhan lagi negara dan destinasi lain yang boleh Basyar dan pengikutnya pergi.
- Keputusan itupun tidak dipersetujui oleh dua buah negara; Iraq dan Lubnan. Mereka mengambil sikap berkecuali dan tidak mengundi ketika keputusan ini diambil oleh Liga Arab.
- Melihat kepada Basyar yang semakin menggila ini, langkah terakhir diambil Liga Arab ialah dengan menghantar rombongan rasmi mereka ke negara tersebut untuk melihat situasi dengan lebih dekat. Rombongan tersebut diketuai oleh bekas Ketua Perisikan Sudan, Mustafa Al-Dib. Hingga kini, sudah lebih dua minggu rombongan tersebut berkampung di Syria. Mereka turun ke setiap kawasan dan daerah tetapi malangnya ketika tiba di Homs, penduduk telah menghalau rombongan tersebut.
Kesimpulan yang saya dapat buat dari rombongan Liga Arab tersebut seperti di bawah:
2) Tindakan Liga Arab yang 'kurang cerdik' menghebahkan kedatangan rombongan mereka hingga tentera Syria mengarahkan semua kereta kebal dan perisai milik mereka keluar dari kedudukan masyarakat awam.
3) Layanan baik yang diberikan oleh rejim Basyar kepada rombongan tersebut berjaya mengelabui mata wakil Liga Arab tersebut. Justeru, kata Musta Al-Dib, kerajaan Syria telah memberikan kerjasama yang baik kepada mereka.
4) Tali barut tentera telah mengekori rombongan di mana jua mereka berada. Sebagai contoh, mereka telah meletakkan kenderaan di perkarangan hotel yang didiami oleh rombongan Liga Arab dan kenderaan tersebut diletakkan logo rasmi Liga Arab. Tujuan kenderaan tersebut diletakkan di perkarangan hotel adalah bagi bertujuan mengelabui mata rakyat dan bagi menjadi pengintip bagi sesiapa dari kalangan rakyat yang berani bertemu dengan wakil Liga Arab untuk menceritakan perihal sebenar. Mereka yang berani menemui wakil tersebut akan dikenalpasti dan dibunuh.
5) Pendirian Liga Arab sendiri dipersoalkan. Adakah tidak memadai dengan dunia melihat dan menyaksikan kezaliman dan penyeksaan yang dilakukan melalui internet dan siaran televisyen di seluruh dunia? Adakah tidak cukup semua itu sebagai bukti untuk bertindak lebih tegas terhadap Syria? Lalu, soalan seterusnya muncul, tindakan lebih tegas yang mana lagi yang boleh dibuat oleh Syria? Menghantar tentera negara-negara anggota bagi melindungi rakyat awam Syria yang tidak memiliki apa-apa senjata? Beranikah Liga Arab?
Tidak cukup sekadar itu, Jumaat minggu lalu adalah yang paling besar yang diadakan seluruh negara bagi menunjukkan sokongan mereka semua kepada revolusi rakyat yang berlaku. Mereka tidak mampu meluahkan dengan perkataan, bilangan mereka yang ramai menjadi saksi kebencian melampau mereka terhadap rejim Basyar.
Rombongan wakil Liga Arab meninggalkan lokasi.
6) Rakyat Syria bertanya lagi kepada rombongan Liga Arab, "Jika kamu ada di negara kamipun mereka (tentera Syria) berani membunuh kami, apatah lagi jika kamu tiada?" Ya, dalam keadaan wakil Liga Arab ada dalam bumi Syria pun, rejim Basyar berani membunuh dan sedikitpun tidak mahu memberhentikan tindakan ganas mereka atau sekurang-kurangnya 'berlakon' berhenti membunuh, bayangkan ketika wakil Liga Arab tiada? Kesimpulannya, kehadiran wkail Liga Arab langsung tidak dipedulikan rejim Basyar.
7) Oleh sebab itu, Speaker Parlimen Iraq sendiri mencadangkan supaya Liga Arab memanggil pulang rombongan mereka segera kerana keberadaan mereka tidak dipedulikan dan ini merupakan penghinaan secara langsung oleh rejim terhadap Liga Arab.
8) Tindakan sebahagian rakyat Syria yang menghalau dan tidak mahu langsung bertemu dengan rombongan tersebut amat tepat kerana kehadiran wakil tersebut tidak membawa apa-apa erti bagi mereka yang dibunuh terang-terangan, di depan mata rombongan. Apatah lagi, pada wal-awal lagi, ketua rombongan telah membuat kenyataan yang mengguris perasaan rakyat Syria yang dizalimi ketika ini.
9) Semenjak ketibaan wakil Liga Arab, bumi Syria sudah dua kali digegarkan dengan letupan bom iaitu tidak sampai dalam tempoh sebulan. Kali pertama berlaku pada 25 Disember lalu, ketika masyarakat Kristian dalam persiapan menyambut perayaan Krismas manakala kali kedua berlaku pada hari ini, Jumaat 6 Januari 2012. Kejadian pada hari ini disasarkan kepada orang awam apabila sebutir bom meletup di tengah bandar Dimashq yang sesak. 25 orang sekurang-kurangnya terkorban manakala puluhan lagi cedera.
10) Taktik terbaru yang digunakan rejim Basyar ialah dengan pembunuhan beramai-ramai yang melibatkan bilangan yang ramai berbeza cara sebelum ini. Taktik dengan cara meledakkan bom di khalayak ramai adalah cara yang paling cepat untuk membunuh rakyat apatah lagi ia melibatkan jumlah yang ramai sekaligus.
Apakah lagi yang diharapkan kepada Liga Arab?Mereka hanya menjadi pemerhati kepada saudara kita yang disembelih di Syria..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan