Reccep Tayyip Erdorgan atau nama Arabnya, Rajab Toyyib Erdorghan yang memimpin Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) atau nama Arabnya Hizbul 'Adalah wal Tanmiyah Turki sekali lagi memenangi pilihanraya Turki buat penggal ketiga. Erdorgan adalah bekas Datuk Bandar Istanbul. Dilahirkan 12 Februari 1954 dan usia sekitar 57 tahun, sebelum menceburi bidang politik, beliau seorang ahli perniagaan. Menuntut di Universiti Marmara dalam Fakulti Ekonomi. Mendirikan rumah tangga dengan Emina Erdorgan dan dikurniakan empat orang anak.
Menceburi bidang politik buat pertama kali melalui Parti Keamanan Kebangsaan bersama murabbinya, Al-Marhum Prof.Najmuddin Erbakan (dilahirkan tahun 1926 dan meninggal dunia 27 Februari 2011, bekas Presiden Parti Refah yang diharamkan dan dilantik Perdana Menteri Turki setahun bermula Jun 1996) yang memimpin parti tersebut dan Erdogan dilantik ketua parti bagi bandar Istanbul tahun 1976. Namun selepas revolusi tentera tahun 1980, kesemua parti politik diharamkan manakala Erbakan pula dilarang terlibat dalam aktiviti politik kepartian. Sekitar tahun 1983 setelah kegiatan politik kembali dibenarkan, Erdorgan aktif dalam Parti Refah dan dilantik sebagai ketua parti bagi bandar Istanbul tahun 1985 dalam usia beliau pada waktu itu seawal 30-an. Bakat kepimpinan yang ada pada beliau semakin terserlah apabila parti mencalonkan beliau untuk bertanding dalam pilihanraya Parlimen pada tahun 1987 dan 1991, namun nasib belum menyebelahi beliau.
Erdorgan dilantik Datuk Bandar Istanbul tahun 1994 setelah memenangi pilihanraya negara itu dan memegang jawatan tersebut selama 4 tahun. Setelah parti Refah yang dilihat berfahaman Islam diharamkan oleh mahkamah negara itu tahun 1999, beliau dan sahabatnya Abdullah Gul menubuhkan Parti Fadhilet. Setelah diharamkan juga, maka ditubuhkan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) tahun 2001. Tahun 1998, Erdorgan disabitkan kesalahan melakukan perbuatan yang disifatkan bertentangan dengan fahaman sekular Turki apabila membacakan syair berbentuk provokasi agama dalam satu ucapan di khalayak ramai dan dikenakan penjara empat bulan. Setelah dibebaskan, beliau masih dikenakan larangan untuk terlibat dalam politik.
Pada pilihanraya umum Parlimen tahun 2002, AKP yang baru berusia 16 bulan bertanding dan memenangi 363 kerusi atau 34 peratus undi popular dan terpaksa bekerjasama dengan parti lain bagi membentuk kerajaan. Oleh kerana masih terikat dengan larangan berpolitik, maka sahabatnya Abdullah Gul mengetuai AKP dan dilantik sebagai Perdana Menteri. Setelah dibebaskan sepenuhnya, Erdorgan mula dilantik Perdana Menteri Turki pada 14 Mac 2003 setelah AKP memenangi pilihanraya negara tersebut tahun 2002,. Pada penggal seterusnya tahun 2007, AKP menang 47 peratus undi popular dan mereka membentuk kerajaan tanpa perlu bekerjasama dengan parti-parti lain seperti sebelum ini.Terbaru pada penggal ketiga tahun 2011, mereka memenangi 326 kerusi atau 49.9 peratus undi popular akan tetapi sasaran memperoleh dua pertiga kerusi masih belum tercapai.
Dalam kempennya, AKP mensasarkan dua pertiga untuk membolehkan mereka membentuk perlembagaan baru dari orang awam untuk Turki. Ini kerana, perlembagaan yang ada adalah dibentuk oleh tentera. Ekoran itu, walaupun memerintah lebih 10 tahun, kerajaan Turki pimpinan AKP tidak bebas kerana sentiasa sahaja dikongkong oleh tentera.Menurut sistem pilihan raya di Turki, AKP perlu menang sekurang-kurangnya 330 kerusi parlimen untuk membina perlembagaan baru tetapi satu referandum diperlukan untuk mengesahkannya. Jika AKP berjaya mendapat lebih dari 367 kerusi, perlembagaan baru boleh dibentuk tanpa perlukan referandum lagi kerana sokongan ahli Parlimen sudah memadai.
Sepanjang keterlibatan beliau dan sahabatnya Abdullah Gul dalam kerajaan sekular Turki, banyak halangan terutama dari tentera dan mahkamah yang cuba menggugat kerajaan beliau yang dikatakan berbau Islam yang amat bertentangan dengan fahaman sekular yang diasaskan oleh Kamal Attaturk tahun 1923. Penampilan isteri beliau Emina dan isteri Gul, Hayrunnisa yang bertudung amat tidak disenangi. Oleh sebab itu, AKP memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen bagi meminda perlembagaan rakyat yang lebih terbuka atas dasar kebebasan dan keadilan.
Erdorgan dilihat 'hero' baru dalam dunia Islam setelah pemimpin negara Arab dilihat lebih mengambil sikap berkompromi dengan Israel. Pada 29 Januari 2009, berlangsung Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland. Ketika forum berlangsung, berlaku pertikaman lidah antara beliau dan Presiden Israel Shimon Peres berkaitan serangan Israel ke atas Gaza. Insiden yang disaksikan di depan mata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon dan Setiausaha Agung Liga Arab Amr Moussa serta ratusan hadirin WEF, Erdorgan berjalan keluar meninggalkan forum tersebut selepas dia ‘dipaksa’ memendekkan ucapannya mengenai isu keganasan Israel itu. "Saya tidak fikir saya akan kembali ke Davos selepas ini kerana anda tidak membenarkan saya bercakap," kata Erdorgan sebelum beredar.
Erdogan mengkritik hadirin yang terdiri daripada tokoh korporat dan politik antarabangsa kerana memberi tepukan selepas Peres dengan penuh emosi mempertahankan serangan Israel ke atas Gaza, sehingga menyebabkan lebih 1,300 rakyat Palestin terkorban. Beliau yang mengetuai segelintir negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel menyifatkan apa yang dilakukan oleh Israel di Gaza sebagai tindakan "tidak bertamadun." "Saya berasa sangat sedih kerana hadirin bertepuk tangan selepas tuan (Peres) berucap kerana ramai penduduk (Palestin) telah terbunuh," kata Erdorgan kepada Peres sebelum dicelah oleh pengerusi sesi iaitu wartawan Washington Post, David Ignatius. "Kita tidak boleh memulakan perbahasan semula kerana kita kesuntukan masa," kata Ignatius kepada Perdana Menteri Turki itu. Peres sebelum itu mendakwa Israel terpaksa melancarkan serangan ke atas Hamas kerana ribuan roket dan mortar telah dilancarkan ke wilayah Israel. Sambil meninggi suara dan menuding jari ke arah Erdogan, beliau berkata, Turki sudah tentu bertindak sama jika roket dilancarkan ke Istanbul. Sekembalinya dari Davos, Erdogan diberi sambutan sebagai wira oleh ribuan rakyatnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk, Istanbul.
Sementara itu, bendera Turki yang berwarna merah dan putih berkibaran di sisi bendera hijau
Hamas pada satu rapat umum di seluruh Gaza tidak lama kemudian di kem pelarian Jabaliya di wilayah Palestin itu. Kira-kira 5,000 penyokong Hamas berhimpun di depan bangunan Parlimen Palestin dengan sebilangannya mengibarkan bendera Turki dan membawa potret Erdogan. Kata ahli Parlimen Hamas, Mushir al-Masri Mashir,"Kami menganggap tindakan Perdana Menteri Turki itu sebagai menandakan pendirian yang berani dan bertanggungjawab, yang mencerminkan sentimen dan pandangan umat Islam serta mengesahkan hak-hak rakyat Palestin."
Erdorgan juga telah dianugerahkan Anugerah Raja Faisal Antarabangsa bagi sumbangan Agama Islam tahun 2010 yang dipengerusikan oleh Putera Mahkota Saudi, Putera Sultan bin Abdul 'Aziz Al-Saud.
31 Mei tahun lalu, ketika serangan komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang mengorbankan sembilan orang dan kebanyakannya warganegara Turki, nama Erdorgan sekali lagi terserlah kerana ketegasannya meminta Israel meminta maaf atas insiden tersebut. Lebih mengejutkan, pada 28 Jun 2010, Erdorgan berkata, negaranya menutup ruang angkasa kepada pesawat tertentu Israel berikutan serangan maut rejim itu terhadap flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza. Menurut agensi berita Anatolia, pemimpin itu memberitahu pemberita di Toronto bahawa Turki menguatkuasakan larangan tersebut selepas Israel menyerang sebuah daripada flotila yang mengikuti misi kemanusiaan antarabangsa pada 31 Mei tahun lalu.
Terbaru,ketika serangan ganas tentera Syria terhadap rakyatnya yang bangkit mencetuskan revolusi kira-kira dua bulan lalu, Erdorgan yang mengetuai kerajaan jiran Syria bersuara. Beliau meminta Syria agar menghentikan serangan terhadap rakyat dan menyatakan "Turki tidak akan menutup pintu sempadan antara Syria-Turki". Ini kerana sejak operasi ketenteraan Syria ke atas Dar'a, Baniyas dan terbaru di Jasr Syaghur, ribuan rakyat Syria menjadi pelarian dan menetap di khemah pelarian yang disediakan oleh pihak Palang Merah Antabangsa di sempadan Turki. Ribuan rakyat Syria melaungkan slogan menyokong Erdorgan dan sekali lagi potret Erdorgan dijulang sambil para penunjuk perasaan melaungkan "Syukran Ya Erdorghan!" Semoga ALLAH membimbing Erdorgan ke jalan yang diredhaiNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan