Isnin, 13 Jun 2011

MUBARAK BAKAL BERDEPAN HUKUMAN MATI?


Menteri Kehakiman Mesir, Abdul Aziz Al-Jundi berkata, Presiden Mesir yang diguling, Hosni Mubarak bakal berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan mengarahkan tembakan dilepaskan kepada penunjuk perasaan revolusi Mesir Januari lalu. Kenyataan seorang menteri dalam kabinet kerajaan Mesir ini seakan-akan hampir pasti terjadi setelah pihak pendakwaan mendengar hujah dari bekas Menteri Dalam Negeri, Habib 'Adli baru-baru ini bahawa Mubarak sebenarnya mengarahkan tembakan dilepaskan kepada penunjuk perasaan.

Satu panel siasatan bebas ditubuhkan kerajaan bagi mendengar dan mengadili kes siapa yang mengarahkan tembakan dilepaskan kepada penunjuk perasaan. Kes yang amat menarik jika diikuti kerana mereka saling menunding jari antara satu sama lain. Sebelum itu, Adli dalam pembelaannya menuduh pembantu-pembantu beliau di wilayah yang mengarahkan polis melepaskan tembakan. Kata Adli, kuasa untuk mengarah ketika itu terletak kepada Ketua Polis Wilayah (atau dalam istilahnya Mudir Amn muhafazah) kerana mereka mengetahui situasi dan tahap sama ada tembakan harus dilepaskan atau tidak. Namun, ia dinafikan oleh beberapa bekas ketua polis wilayah yang bertugas di bawah Habib 'Adli. Antaranya bekas Ketua Polis Giza dan Qalyubiyah (Mudir Amn Giza dan Qalyubiyah) mengatakan Habib 'Adli yang mengeluarkan perintah agar polis menembak penunjuk perasaan.

Sejurus selepas Habib 'Adli dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan menyalahgunakan kuasa, bekas Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman pula menyebut, mustahil Mubarak sebagai ketua kerajaan tidak mengetahui tentang kematian rakyatnya sewaktu kebangkitan revolusi itu. Ini kerana setiap masa dia bertanya perkembangan terhadap Habib 'Adli. Bahkan kata Suleiman, Mubarak tahu secara terperinci bilangan mereka yang terbunuh setiap hari dan beberapa buah trak polis yang menggilis penunjuk perasaan hingga membawa kematian mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan