Rabu, 15 Jun 2011

IKHWAN MUSLIMIN GADAI PRINSIP, MAHUKAN NEGARA MADANI, TIDAK NEGARA ISLAM?


Parti Kebebasan dan Keadilan Mesir telah diluluskan pendaftarannya oleh Bahagian Pendaftaran Pertubuhan Mesir. Parti tersebut sebelum ini diperingkat penajaan kini telah diterima sebagai sebuah parti politik yang berdaftar yang membolehkannya menyertai pilihanraya Parlimen Mesir nanti.

Sebaik sahaja pendaftaran parti tersebut diterima, Musryidul 'Am Ikhwan Muslimin dan Presiden parti, Dr.Mohammad Mursi menerima ucapan tahniah dari dalam dan luar Mesir atas berita gembira tersebut. Dalam organisasi parti tersebut, Dr.Mohammad Mursi disahkan sebagai Presiden, Dr.'Isom Iryan dan Dr.Rafiq Habibi (seorang beragama Kristian) sebagai Timbalan Presiden manakala Dr.Sa'ad Al-Katatni sebagai Setiausaha Agung.

Apa yang menarik, tidak lama kemudian, mereka telah menukar slogan yang masyhur selama ini iaitu "ISLAM HUWAL HAL" yang dijadikan slogan lebih 20 tahun lalu yang bermaksud "Islam Adalah Penyelesaian" kepada "Nahmilul Khair Li Misr" (Membawa Kebaikan Kebajikan Untuk Mesir).

Dr.Mohammad Mursi diwawancara oleh wartawan luar negara berkaitan matlamat Ikhwan Muslimin yang akan dibawa oleh Parti Kebebasan dan Keadilan iaitu cita-cita menubuhkan negara Islam. Jawab Dr.Mohammad, "Kami tidak akan menubuhkan negara Islam akan tetapi hasrat kami ingin menubuhkan sebuah negara Madani."

Wartawan kemudian bertanya lagi, "Jika Parti Kebebasan dan Keadilan bertanding di 50 peratus kerusi Parlimen dan memenanginya, adakah parti tuan akan berusaha meminda Perlembagaan Mesir menjadikannya sebuah negara Islam?"

Jawab Dr.Mohamamd Mursi, "Perlembagaan Mesir adalah hak rakyat Mesir, bukan hak kami atau hak mana-mana pihak. Tidak boleh bagi kami meminda sesuka hati."

Wartawan bertanya lagi, "Bukankah 50 peratus kerusi di Parlimen itu seakan-akan hampir menguasai Parlimen dan parti tuan mempunyai kuasa berkaitannya?"

Jawab Dr.Mohammad Mursi, "Matlamat kami bukan menguasai Parlimen. Kami menghendaki supaya semua pihak memahami bahawa kami tidak dapat memerintah Mesir secara bersendirian tanpa parti dan agama lain. Sebab itu parti kami menerima agama Masihi (Kristian) sebagai anggota parti dan itulah mengapa Timbalan Presiden parti, Dr.Rafiq Habibi seorang Kristian."

Kenyataan Dr.Mohammad Mursi ini membenarkan kenyataan Dr.Kittatni dalam satu kenyataan dalam El-Wafd (klik untuk lihat) di bawah tajuk "Kami Tidak Menghalang Kristian Untuk Mengetuai" bahawa Parti Kebebasan dan Keadilan terbuka untuk semua sama ada Islam atau Kristian.

Itulah pendekatan politik yang boleh berubah, tetapi bukan dasar..Bukankah dalam negara Madani iaitu yang dinisbahkan kepada negara Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w terdapat aspek keadilan, kebebasan, kebajikan dan perpaduan antara agama dan kaum? Bukankah yang menjadi teras kepada negara Madani itu ialah Islam? Bukankah yang menjadi tonggak kepada kebajikan itu ialah Islam? Bukankah yang menjadi dasar keadilan itu ialah Islam? Bukankah yang mendidik manusian kepada keharmonian dan perpaduan itu ialah Islam?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan